KUCHING: Kelantan City FC mengemukakan aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas mempersoalkan tiga insiden pengadilan ketika tewas 1-4 kepada Kuching City FC pada aksi timbal balik suku akhir Piala FA Malaysia 2026-2027 di Stadium Taha Ariffin, 10 Oktober lalu.
Kekalahan itu menyaksikan Kelantan City tersingkir dengan agregat 1-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Kuching City pula mara ke separuh akhir selepas Ajdin Mujagic meledak hatrik, manakala satu lagi jaringan dihasilkan oleh Yuki Tanigawa.
Kelantan City dalam kenyataan berkata, pihaknya kecewa dan kesal dengan mutu pengadilan perlawanan berkenaan serta mendakwa beberapa keputusan memberi kesan perjalanan aksi dan keputusan akhir.
“Kelantan City FC menghormati keputusan di atas padang, namun penghormatan tersebut tidak bermakna pihak kelab harus berdiam diri apabila wujud keputusan pengadilan yang wajar dipersoalkan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Kelab itu berkata, pihaknya mengenal pasti tiga insiden yang dipertikaikan, bermula dengan jaringan pertama Kuching City pada minit ke-11 yang menimbulkan keraguan sama ada keseluruhan bola sudah melepasi garisan gol.
“Insiden kedua melibatkan jaringan pada minit ke-19 yang mempunyai unsur ofsaid, manakala jaringan keempat Kuching City pada minit ke-81 berlaku kekasaran terhadap pemain sebelum gol terhasil,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga insiden berkenaan turut menimbulkan persoalan penggunaan dan proses semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Pihak kelab mengambil pendirian mengemukakan aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia.
“Kami mendesak agar Jawatankuasa Pengadil FAM melaksanakan penelitian menyeluruh rakaman perlawanan, laporan pegawai perlawanan serta proses pengendalian VAR,” menurut kenyataan itu.
Kelantan City turut menggesa tindakan sewajarnya diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku kecuaian atau kesilapan serius.
“Kami tidak menuntut layanan istimewa. Kami hanya menuntut keadilan, ketelusan dan mutu pengadilan yang setimpal dengan martabat pertandingan bola sepak tertinggi negara,” katanya.
Kelab itu berkata, setiap pasukan membuat pengorbanan besar dari segi kewangan, persiapan, tenaga dan komitmen, justeru mutu pengadilan perlu dipastikan tidak menjejaskan integriti pertandingan serta keyakinan penyokong.
Sebelum kenyataan rasmi berkenaan dikeluarkan, ketua jurulatih Kelantan City, Alfredo Carlos turut menyuarakan keraguannya beberapa jaringan The Cats selepas perlawanan.
Beliau bagaimanapun mengakui kekuatan serangan Kuching City menjadi antara perbezaan utama dalam pertemuan itu serta mengucapkan tahniah kepada The Cats atas kemenangan berkenaan.
Kemenangan itu membawa skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ke separuh akhir Piala FA Malaysia 2026-2027, dengan Selangor FC menjadi lawan seterusnya.

