ARTIKEL

Poster program ICOMOS.

Sarawak Tuan Rumah Perhimpunan Agung ICOMOS 17 Hingga 24 Oktober Ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak bakal menjadi tumpuan komuniti warisan antarabangsa apabila menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik ke-22 Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak (ICOMOS) 2026, bermula 17 hingga 24 Oktober ini.

Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, acara yang julung kali diadakan di Asia Tenggara itu dijangka menghimpunkan 1,500 peserta dari 110 negara di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Dianjurkan oleh ICOMOS Malaysia, program selama lapan hari itu merangkumi Perhimpunan Agung, Simposium Saintifik, Ekspo Warisan serta pelbagai program untuk orang ramai.

Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak (MUDENR) menerajui penyertaan serta kerjasama antara agensi negeri, termasuk SFC, bagi mengetengahkan usaha pemuliharaan warisan semula jadi, perlindungan biodiversiti dan pengurusan kawasan perlindungan.

Antara pengisian utama ialah pavilion khas MUDENR di Ekspo Warisan ICOMOS 2026 yang menghimpunkan agensi di bawah kementerian itu untuk mempamerkan pencapaian pemuliharaan, inisiatif alam sekitar serta pendekatan pembangunan mampan Sarawak.

Penyertaan SFC pula memberi tumpuan kepada kepentingan melindungi hutan, hidupan liar dan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), selain meningkatkan kesedaran peranan ekosistem sihat dalam mengekalkan biodiversiti, kesejahteraan komuniti tempatan dan warisan semula jadi negeri.

Ekspo Warisan itu dibuka kepada orang ramai di BCCK dari 19 hingga 22 Oktober ini, bermula 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Pengunjung berpeluang mengetahui lebih lanjut berkaitan warisan budaya dan semula jadi Sarawak serta institusi yang bertanggungjawab memeliharanya.

MUDENR dan agensinya turut menyertai Program Refleksi UNESCO@80 bertemakan “80 Voices, One Shared Vision” yang menghubungkan pakar warisan dengan orang ramai menerusi perbincangan warisan, perkongsian ilmu dan kerjasama antarabangsa.

Program ini memberi ruang untuk menilai perjalanan lapan dekad UNESCO serta meneroka kepelbagaian pengetahuan, pengalaman dan kerjasama yang dapat menyumbang kepada masa depan pemuliharaan warisan.

Sarawak mempunyai dua tapak Warisan Dunia UNESCO, iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Kompleks Gua Taman Negara Niah yang mempunyai nilai arkeologi.

Kuching turut menjadi lokasi Geopark Global Delta Sarawak, sekali gus mencerminkan keunikan warisan semula jadi dan budaya negeri ini serta kepentingan usaha pemuliharaan berterusan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU