KOTA BHARU: Polis mengesahkan 10 pendatang melarikan diri dari Depot Imigresen Tanah Merah kira-kira 3 pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kesemua mereka berada di bawah tahanan Jabatan Imigresen Kelantan dan siasatan lanjut akan dijalankan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata perkara tersebut dimaklumkan selepas menghadiri sidang media pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.
Menurutnya, hebahan telah dibuat bagi menggerakkan operasi tutup di kawasan sekitar depot untuk mengesan dan menahan semula kesemua pendatang berkenaan.
Menurut Bernama, operasi mencari turut dijalankan di kawasan sekitar depot bagi mengesan kesemua mereka yang melarikan diri.



