KUCHING: Hari Demo Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Pre-Accelerator Bootcamp (TPAB) menjadi platform bagi 10 syarikat pemula membentangkan idea serta potensi tanpa had untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, TPAB merupakan salah satu program utama di bawah inisiatif Perkampungan Digital TEGAS dan Hab Inovasi Digital TEGAS.
“Sepanjang lima hari lalu, syarikat-syarikat pemula ini telah melalui pengalaman pembelajaran yang intensif dan memperhalusi model perniagaan mereka.
“Mereka juga berupaya mengukuhkan kemahiran pembentangan idea serta mempersiapkan diri untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam perjalanan keusahawanan mereka.
“Hari Demo ini turut menjadi platform untuk menyerlahkan ketabahan dan kreativiti dalam ekosistem syarikat pemula di Sarawak,” katanya ketika merasmikan TPAB di Perkampungan Digital TEGAS, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi TEGAS berkata, daripada 18 syarikat pemula yang menyertai, 10 berjaya mara ke peringkat akhir sebagai finalis dan kehadiran mereka membuktikan semangat juang dan daya inovasi yang tinggi.
“Tidak kira apa hasilnya, anda telah melangkah jauh dengan membuktikan idea serta keberanian untuk bermimpi besar. Jadikan detik ini sebagai permulaan perjalanan yang lebih bermakna agar anda terus berusaha dalam mencipta impak berkekalan,” jelasnya.
Beliau menjelaskan bahawa melalui platform seperti Perkampungan Digital TEGAS dan Hab Inovasi Digital TEGAS di Bintulu dan Miri, ia telah mewujudkan landasan pelancaran yang subur bagi syarikat pemula dan para inovator peringkat awal.

“Kami menyediakan ruang kerja bersama, program pemecut, bimbingan, akses kepada pembiayaan serta rangkaian rakan kerjasama yang luas,” tambahnya.
Mengulas mengenai perkembangan Fasa 2 Perkampungan Digital TEGAS, katanya projek itu akan dimulakan tidak lama lagi dengan jangkaan siap dalam tempoh tiga tahun.
“Kemudahan ini bukan sahaja akan menampung usahawan tempatan tetapi juga menarik nomad digital dari seluruh dunia dengan mewujudkan persekitaran yang membolehkan bakat pelbagai latar tinggal, bekerja serta berkolaborasi di bawah satu bumbung.
“Melalui interaksi harian, pertukaran ilmu serta jaringan rentas budaya, ruang kerja bersama ini akan menjadi wadah pencetus idea segar, kerjasama dan inovasi.
“Langkah ini seterusnya akan memperkukuh ekosistem kita dan memberi impak lebih besar kepada ekonomi digital Sarawak,” katanya.







