SARIKEI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) diyakini mampu membela nasib rakyat di luar bandar apabila 10 tuai rumah dari kawasan Nanga Meluan, Julau sebulat suara menyatakan sokongan penuh agar Rolland Duat Jubin dikekalkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Sokongan padu itu dizahirkan dalam kunjungan muhibah mereka ke kediaman wakil rakyat berkenaan di sini, petang semalam.
Menurut ketua rombongan, John Ukin, penduduk luar bandar hanya akan memperoleh manfaat pembangunan sekiranya diwakili pemimpin daripada parti kerajaan kerana mempunyai jaringan kerjasama erat dengan pelbagai agensi negeri dan Persekutuan.
“GPS membuktikan komitmen dalam membawa kemajuan kepada rakyat Sarawak. Justeru, kami tetap memberi sokongan tanpa ragu kepada kepimpinan Rolland,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Nuang Munsang berkata keyakinan mereka terhadap Rolland berasaskan pencapaian nyata yang dilaksanakan di kawasan Meluan sejak beberapa tahun lalu.
Antaranya, projek pembinaan jambatan besi bernilai RM10 juta yang menghubungkan Ulu Meluan dengan Ulu Mujok serta pembangunan semula Sekolah Kebangsaan Nanga Meluan bernilai RM43 juta.
“Ini membuktikan kerajaan GPS bersama dengan kerajaan pusat tidak pernah meminggirkan kawasan Nanga Meluan,” ujarnya.
Tuai Rumah Taun Budung pula menekankan keperluan rakyat luar bandar yang masih mendambakan pembangunan menyeluruh, sekali gus menggesa pengundi Meluan terus memberi sokongan padu kepada Rolland.
Dalam pada itu, Rolland merakamkan penghargaan atas sokongan tersebut dan menyifatkan kehadiran rombongan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan rakyat, malah menjadi wadah berkongsi pandangan demi kelangsungan agenda pembangunan kerajaan.



