KUCHING: Seramai 100 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang dan SK Siol Kanan telah terpilih menerima sumbangan makanan bulanan selama setahun menerusi program tanggungjawab korporat “DRB-Hicom Charity Right Feed-To-Educate Program” anjuran DRB-HICOM Berhad.
Pelancaran program tersebut berlangsung pada 15 November lalu dan disempurnakan dengan penyerahan bantuan kepada keluarga yang terlibat.

Ketua Pegawai Komunikasi DRB-HICOM, Cairil Irwan Amir, berkata inisiatif ini bertujuan memberi sokongan holistik kepada keluarga murid serta membantu meningkatkan keberhasilan pendidikan mereka.
“Setiap kotak makanan bernilai kira-kira RM200 dan mengandungi barangan runcit serta keperluan asas yang akan diagihkan secara konsisten selama setahun.
“Inisiatif ini selaras dengan komitmen jangka panjang syarikat untuk mempromosikan pendidikan yang lebih baik dalam kerangka tanggungjawab korporat kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, bantuan ini bukan sahaja bertujuan menyokong keperluan makanan keluarga murid tetapi juga menggalakkan kehadiran ke sekolah dan pencapaian akademik yang lebih baik.
“Sokongan ibu bapa juga penting dalam menjayakan program ini dengan menghadiri mesyuarat bersama pihak sekolah,” tambahnya.
Program ini turut memantau aspek kehadiran murid, kemajuan akademik, dan status kesihatan mereka bagi memastikan impak yang berpanjangan.
Selain itu, DRB-HICOM melalui anak syarikatnya – Bank Muamalat dan PROTON – turut menyumbang kepada program ini. Bank Muamalat telah mengadakan ceramah motivasi mengenai literasi kewangan dan kesedaran penipuan, manakala PROTON memperkenalkan pelajar kepada teknologi terkini dalam industri automotif.
“Kami berharap sesi ini dapat mengukuhkan literasi kewangan pelajar dan memberi inspirasi untuk terus menimba ilmu,” ujar Cairil lagi.
Majlis pelancaran turut dihadiri Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Sariah Mos, dan Ketua Pengurusan Dana Charity Right, Zafina Khuzaimah.

