KUCHING: Seramai 100 pelajar daripada tiga institusi pengajian tinggi berjaya menghasilkan inventori 140 bangunan warisan menerusi program Heritage Future: Voices of Old Kuching –Architectural Heritage Student Inventory 2026.
Menurut kenyataan media Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) Inventori itu merangkumi 100 rumah kedai bersejarah dan 40 rumah tradisional Melayu.
Daripada keseluruhan inventori yang dihasilkan, rumah kedai bersejarah dikenal pasti di kawasan Kuching lama, manakala rumah tradisional Melayu direkodkan di lapan perkampungan bersejarah.

Lapan perkampungan berkenaan ialah Kampung Masjid, Kampung Bintangor Kecil, Kampung Bintangor Besar, Kampung Bandarsah, Kampung No. 3, Kampung No. 4, Kampung No. 5 dan Kampung No. 6.
Program yang berlangsung dari 7 hingga 13 Oktober ini, merupakan inisiatif bagi mendokumentasikan khazanah seni bina bersejarah di kawasan Kuching lama.

Penasihat Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Datuk Dr Sabariah Putit, berkata berasa teruja dan terharu apabila hasrat yang sekian lama dirancang untuk mendokumentasikan warisan seni bina Kuching lama akhirnya berjaya direalisasikan menerusi aktiviti terbabit.
“Pencapaian itu amat bermakna kerana dokumentasi warisan bukan sekadar merekodkan bangunan bersejarah.
“Malah turut mengangkat identiti budaya, sejarah kehidupan dan memori kolektif masyarakat yang membentuk keunikan Kuching lama,” katanya.
Program terbabit merupakan salah satu inisiatif di bawah OKSHE dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta sokongan kepakaran Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) dan ICOMOS Malaysia.
Aktiviti beberapa hari terbabit diketuai Ketua Penyelaras, Profesor Madya Dr Nor Hayati Hussain, dengan penyertaan pelajar daripada UNIMAS, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknologi Swinburne cawangan Sarawak.

