ARTIKEL

Huang ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di Kuching, hari ini.

ADUN Repok Bangkit Isu Liputan Internet, Bekalan Air di Sarikei

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kawasan pedalaman Sarikei termasuk rumah panjang dan perkampungan yang masih berdepan masalah capaian telefon serta Internet perlu diberi keutamaan menerusi peruntukan RM309 juta bagi pembinaan menara telekomunikasi SMART di seluruh Sarawak tahun depan.

ADUN Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, peruntukan menerusi pembiayaan alternatif itu penting bagi memperluas kesalinghubungan digital, khususnya di kawasan luar bandar yang masih ketinggalan dari segi liputan telekomunikasi.

Menurutnya, telekomunikasi yang kukuh dan boleh dipercayai kini menjadi tulang belakang kepada ekonomi digital Sarawak susulan penggunaan teknologi yang semakin meluas dalam sektor kerajaan, perniagaan dan industri.

“Peruntukan sebanyak RM309 juta bagi pembinaan menara telekomunikasi SMART jelas membuktikan komitmen kerajaan untuk membina infrastruktur yang bukan sahaja menghubungkan pasaran dan peluang, tetapi memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati kemajuan ekonomi digital.

“Namun, di Sarikei masih terdapat beberapa kawasan pedalaman termasuk rumah panjang dan perkampungan yang jauh dari pusat bandar menghadapi masalah mendapatkan isyarat rangkaian telefon dan Internet yang stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Tambahnya, usaha memperkukuh liputan telekomunikasi selari dengan penekanan dalam Belanjawan Sarawak 2027 untuk merapatkan jurang pembangunan luar bandar serta menghubungkan masyarakat dengan pasaran dan peluang ekonomi.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan memberi perhatian sewajarnya dengan peningkatan kapasiti jalur lebar di kawasan luar bandar selain memperluas penggunaan teknologi moden termasuk rangkaian generasi kelima (5G).

Dalam perkembangan berkaitan kemudahan asas, beliau turut membangkitkan nasib penduduk di 12 rumah panjang di pedalaman Sarikei yang masih belum menikmati bekalan air terawat sepenuhnya.

“Kawasan terbabit termasuk Sebangkoi/Bukit Kayu Malam serta Sungai Mawang/Sungai Rusa, dengan penduduk masih bergantung kepada sumber sungai dan tadahan air hujan untuk kegunaan harian.

“Keadaan itu membimbangkan kerana sumber air berkenaan tidak terjamin dan berpotensi menjejaskan kesihatan penduduk, khususnya kanak-kanak serta warga emas.

“Saya ingin mengetahui status semasa projek bekalan air terawat bagi kawasan Sebangkoi/Bukit Kayu Malam serta Sungai Mawang/Sungai Rusa,” katanya.

Sementara itu, berkaitan cadangan pembinaan sebuah stadium tertutup baharu serta penambahan 10 mesin dialisis untuk Hospital Sarikei, beliau menyifatkan ia antara bukti keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam memenuhi keperluan rakyat, khususnya dari aspek kesihatan dan kemudahan komuniti.

“Usaha berkenaan bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada penduduk Sarikei, malah mencerminkan pendekatan Kerajaan Sarawak yang terus memberi perhatian kepada keperluan rakyat di setiap kawasan,” tegasnya.

Kedua-dua inisiatif tersebut diumumkan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Program Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei.

BERITA LAIN

Naik Taraf Balingian Sebagai Daerah Penuh

KUCHING: Daerah Kecil Balingian dicadangkan agar dinaik taraf kepada daerah penuh berdasarkan keluasan kawasan, perkembangan penduduk, pertumbuhan ekonomi serta peningkatan keperluan perkhidmatan kerajaan. ADUN Balingian

BERITA TERBARU

Naik Taraf Balingian Sebagai Daerah Penuh

KUCHING: Daerah Kecil Balingian dicadangkan agar dinaik taraf kepada daerah penuh berdasarkan keluasan kawasan, perkembangan penduduk, pertumbuhan ekonomi serta peningkatan keperluan perkhidmatan kerajaan. ADUN Balingian