KUCHING: Daerah Kecil Balingian dicadangkan agar dinaik taraf kepada daerah penuh berdasarkan keluasan kawasan, perkembangan penduduk, pertumbuhan ekonomi serta peningkatan keperluan perkhidmatan kerajaan.
ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, dengan status daerah penuh, urusan pentadbiran dapat diperkukuh, kehadiran agensi kerajaan dapat diperluas dan rakyat akan lebih mudah mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu bergantung kepada pusat pentadbiran yang lebih jauh.
“Saya percaya langkah ini berpotensi mempercepat pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, sekali gus memperkukuh peranan Balingian sebagai
pusat pertumbuhan baharu di kawasan pesisir Mukah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam perbahasan yang sama, Yakub turut meminta agar projek SMK Balingian yang dikategorikan sebagai projek sakit diberikan keutamaan untuk dipulihkan dan dipercepat.
Pada masa yang sama katanya, bekalan air bersih, elektrik dan kemudahan telekomunikasi di kawasan luar bandar harus terus diperkukuhkan.
“Kemudahan asas perlu terus diberi perhatian, khususnya di kawasan yang masih berdepan kekurangan infrastruktur,” katanya.
Beliau turut berkata, sektor pertanian dan keusahawanan tempatan perlu diperkasa melalui kemudahan jalan, latihan, peningkatan produktiviti dan akses pasaran agar pembangunan bukan sahaja menyediakan prasarana, tetapi turut meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.

