KUCHING: Jambatan Sungai Lepong yang menjadi laluan penting kepada 16 rumah panjang dan sebuah sekolah rendah di Sarikei dicadangkan dibina semula kerana struktur sedia ada yang berusia lebih tiga dekad tidak lagi memenuhi keperluan semasa penduduk.
ADUN Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, jambatan sepanjang 28 meter dan selebar 4.2 meter yang dibina pada 1990 itu merupakan antara nadi penghubung utama masyarakat setempat.
“Seiring dengan keperluan komuniti luar bandar yang semakin berkembang, sebuah jambatan yang selamat dan boleh dipercayai amat penting bagi memastikan perkhidmatan dapat disampaikan dengan cekap.
“Saya mencadangkan kerajaan membina semula jambatan tersebut bagi memenuhi keperluan semasa masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei itu turut membangkitkan keperluan pemasangan lampu jalan berkuasa solar di Jalan Jakar dan Jalan Kim San.
Dalam aspek kemudahan kesihatan, beliau turut meminta kerajaan mencari penyelesaian segera masalah kekurangan tempat letak kereta di Hospital Sarikei dan Poliklinik Sarikei yang menerima jumlah pesakit tinggi setiap tahun.
“Hospital Sarikei merekodkan kira-kira 11,000 pesakit dalam dan 39,000 pesakit luar pada 2025, manakala jumlah kedatangan ke Poliklinik Sarikei meningkat daripada kira-kira 152,000 pada 2024 kepada sekitar 169,000 pada 2025.
“Namun, hospital ini hanya mempunyai sejumlah 73 petak parkir untuk kakitangan dan 258 petak untuk orang awam, sedangkan keperluan yang pernah dinyatakan pada persidangan lalu dianggarkan sebanyak 450 petak, iaitu 100 untuk kakitangan dan 350 untuk orang awam,” ujarnya.
Katanya, kekurangan itu bukan sahaja menyebabkan kesesakan lalu lintas, malah menyukarkan warga emas, pesakit kronik serta ibu yang membawa anak kecil.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan trek larian di Kompleks Sukan Sarikei dinaik taraf selain penambahan sistem pencahayaan bagi meningkatkan keselamatan pengguna terutama pada waktu petang dan malam.
Katanya, kompleks berkenaan menjadi tumpuan penduduk untuk bersenam dan beriadah, selain menjadi lokasi penganjuran program berskala besar termasuk Sarawakku Sayang.

