KUCHING: Kekuatan kewangan Sarawak dengan hasil negeri dijangka mencecah RM15.091 bilion pada 2027 tidak boleh hanya dilihat sebagai kejayaan angka, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pendapatan lebih baik, pekerjaan berkualiti dan taraf hidup lebih tinggi untuk rakyat.
ADUN Batu Lintang, See Chee How berkata, peningkatan hasil daripada RM6.864 bilion pada 2017 memberi ruang lebih besar kepada Sarawak untuk melabur dalam infrastruktur, pendidikan, kepelbagaian ekonomi serta pembangunan institusi yang mampu memberi manfaat jangka panjang.
“Kita tidak boleh menyamakan kerajaan yang kaya dengan masyarakat yang makmur. Makna sebenar peningkatan hasil bukan semata-mata berapa banyak wang yang dikutip kerajaan, tetapi apakah yang kita pilih untuk lakukan dengan wang tersebut.
“Ukuran sebenar kemajuan negeri sama ada rakyat menikmati pendapatan lebih tinggi, pekerjaan bermakna, perkhidmatan awam lebih baik, keselamatan ekonomi serta peningkatan kualiti hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan kemakmuran negeri mesti dirasai sehingga ke peringkat isi rumah, termasuk melalui projek yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Projek Tebatan Banjir Sungai Maong Kiri bernilai RM100.215 juta yang kini dalam pelaksanaan dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 40,000 penduduk Batu Lintang serta Kota Sentosa,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyambut baik hala tuju Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membangunkan sektor tenaga boleh baharu dan rendah karbon, pembuatan termaju, teknologi digital, kecerdasan buatan, aeroangkasa serta pertanian moden.
Dalam aspek pendidikan, beliau menyifatkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma dengan peruntukan RM200 juta pada 2027 yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga 10,600 pelajar sebagai pelaburan penting untuk masa depan negeri.
Mengenai pembangunan luar bandar, beliau menyambut baik peruntukan RM6.4 bilion atau kira-kira 64 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan negeri.
Katanya, jalan raya, jambatan, bekalan air, elektrik dan kesalinghubungan digital mesti menjadi asas kepada pemerkasaan ekonomi, bukan sekadar kemudahan fizikal.



