KUCHING: Kira-kira 100 peserta terdiri daripada kakitangan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Sarawak bersama petugas media tempatan memeriahkan Fiesta Bowling LCDA bersama media 2025 yang berlangsung di Megalanes, Emart Batu Kawa, sebentar tadi.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Puncak Borneo Development Sdn Bhd, Zuraimy Kusyaili, mewakili Pengurus Besar LCDA, Datuk Sr Zaidi Mahdi, sekitar jam 2 petang.
Anak jati Kampung Tupong Jaya, Mohammad Adan, mendominasi pertandingan selepas merangkul tiga anugerah bagi kategori staf lelaki LCDA.
Keputusan 490 pin hasil pungutan tiga perlawanan menjadikan beliau juara kategori staf lelaki LCDA, selain turut dinobatkan sebagai pemenang anugerah ‘The Best of the Best’ dan pemain terbaik.
Naib juara kategori itu dirangkul oleh Hatta Jinal dengan 474 pin, diikuti Jaya Tana di tempat ketiga dengan 439 pin.

Bagi kategori wanita LCDA, Siti Hawa Abdul Latip muncul juara dengan 443 pin, diikuti Iemy Amit dengan 391 pin dan Nurul Muzalifah Julaihi di tempat ketiga dengan 381 pin.
Dalam kategori media, wakil TVS, Mohd Osman, mendahului carta teratas biarpun dicabar rapat oleh wakil RTM, Mohd Faiz.
Sementara itu, Siti Zubaidah Bujang mendominasi kategori media wanita selepas mencatat kejatuhan pin sebanyak 451, meninggalkan pemenang tempat kedua, Amiza Morshidi, dengan 320 pin.



