LUNDU: Seramai 100 individu menerima sumbangan bakul makanan sempena persiapan menyambut Tahun Baharu Cina 2026, di kawasan DUN Tanjong Datu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sumbangan tersebut bukan sahaja meringankan beban penerima, malah mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai saling membantu dalam masyarakat berbilang kaum.


“Esok, bakul makanan ini juga akan diserahkan kepada 20 penerima di Kampung Pasar Bako, Demak Laut dan 20 penerima di Bandar Baru Samariang, Pantai Damai,” katanya pada majlis yang berlangsung di Dewan Mahligai Gading, Lundu, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Kaunselor Daerah Lundu serta KMKK Daerah Lundu atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sehingga program sumbangan bakul makanan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Sementara itu, dalam program berasingan di Surau An-Nur, Kampung Terusan Jaya, Sematan, usaha berterusan memperkasa pembangunan infrastruktur dan kebajikan komuniti di kawasan luar bandar turut diberi perhatian.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan sebelum ini ialah kerja-kerja baik pulih Jeti Nelayan Kampung Terusan Jaya, Sematan pada 2024 bagi menyokong aktiviti nelayan dan sektor pelancongan.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan kemudahan komuniti serta merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Surau An-Nur Kampung Terusan Jaya bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan, serta menyerahkan lima kotak kit jenazah sebagai persediaan asas bagi pengurusan jenazah.

