1,000 asnaf dibantu sambut Aidilfitri

KUCHING: AIA Public Takaful Bhd. (AIA Public Takaful) dengan kerjasama Malaysia Relief Agency (MRA) baru-baru ini mengedarkan Kit Semarakkan Raya berupa bekalan makanan kepada 1,000 keluarga asnaf di Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA Public Takaful, Elmie Aman Najas berkata, program itu merupakan sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) AIA Public Takaful kepada masyarakat.

Menurutnya, pihaknya tampil untuk memastikan kebajikan golongan kurang bernasib baik dijaga ekoran terjejas akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menjalani ibadah puasa dan merayakan Aidilfitri ketika PKP, ia lebih mencabar bagi keluarga kurang bernasib baik.

“Oleh itu, kami ingin meringankan beban mereka dan berkongsi keceriaan bersama-sama golongan ini kerana mereka juga berhak untuk menyambut Hari Raya dengan kegembiraan.

“Inisiatif CSR ini merupakan salah satu cara kami untuk membantu mereka meraikan Syawal dengan lebih bermakna,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Elmie berkata, inisiatif Semarakkan Raya itu diperkukuhkan lagi dengan sokongan daripada rakyat Malaysia yang menyertai kempen terbaru AIA Public Takaful iaitu #GymUntukJiwa.

Menurutnya, kempen yang dilancarkan pada hari keempat Ramadan lalu itu merangkumi pelbagai cabaran di media sosial.

“Ia mendorong rakyat Malaysia untuk terus berusaha menjadi insan yang lebih baik, melatih jiwa untuk menanam rasa simpati, cinta dan belas kasihan. “Akhirnya akan dapat mewujudkan impak lebih positif kepada komuniti di sekeliling,” tambahnya.

Pada majlis pelancaran, Elmie Aman Najas telah menyerahkan Kit Semarakkan Raya kepada Presiden MRA Dr. Mohd Daud Sulaiman yang akan diedarkan kepada 1,000 keluarga asnaf.

Turut hadir ialah Pengarah Bersekutu Pemasaran Produk AIA Public Takaful Afdzal Al-‘Adli Husni dan Timbalan Presiden MRA Khairil Annuar Khalid.