BINTULU: Program Mini Bowling: Strike Out Drugs! bukan sahaja menjadi wadah menggalakkan gaya hidup sihat, malah berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat dengan bahaya penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan golongan belia.
Pegawai Daerah Bintulu, Awangku Mohammed Nizam Awang Ali Bohan berkata aktiviti sukan dan rekreasi seperti itu mampu memupuk semangat kesukanan, mengeratkan hubungan silaturahim serta menggalakkan masyarakat memilih gaya hidup positif dan bebas daripada dadah.
Menurutnya, penyalahgunaan dadah bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan individu, malah boleh merosakkan keharmonian keluarga, keselamatan masyarakat serta masa depan generasi muda.
Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha pencegahan dadah memerlukan kerjasama berterusan semua pihak dan tidak boleh diserahkan kepada pihak berkuasa semata-mata.
Katanya, pemimpin masyarakat, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan dan anggota komuniti perlu memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan kesedaran serta membendung gejala penyalahgunaan dadah.

“Pendekatan melalui aktiviti kemasyarakatan dan sukan seperti ini merupakan antara langkah positif untuk mendekati masyarakat, khususnya golongan muda, dalam suasana yang sihat, harmoni dan penuh semangat kebersamaan,” menurut teks ucapan itu.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Mini Bowling: Strike Out Drugs! anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Cina Bintulu bersama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Bintulu dengan kerjasama Megalanes Bintulu, malam tadi .
Beliau turut berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan pelibatan lebih ramai peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya, penyertaan aktif golongan belia penting bagi menyediakan ruang untuk mereka mengembangkan potensi diri, membina keyakinan serta melibatkan diri dalam aktiviti yang bermanfaat.
Katanya, kejayaan program bukan hanya diukur berdasarkan kemenangan, sebaliknya melalui nilai kerjasama, persahabatan dan hubungan baik yang terjalin dalam kalangan peserta.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan, sambil berharap inisiatif itu menjadi pemangkin kepada usaha membina masyarakat yang sihat, bersatu padu dan bebas daripada ancaman dadah.
Sebanyak 16 pasukan mewakili pelbagai agensi kerajaan, ketua masyarakat dan ketua kaum Cina termasuk media tempatan menyertai aktiviti julung kali tersebut.

