1,000 buaya perlu makan

SIBURAN: Rakyat Sarawak diharap terus menyokong produk ekopelancongan tempatan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Pengurus Taman Buaya Jong, Teoh Yia Qing berkata, orang ramai tidak perlu khuatir untuk berkunjung ke taman buaya itu kerana pembukaannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tahap tinggi seperti digariskan oleh pihak berkuasa.

“Justeru, kami menawarkan harga istimewa kepada pengunjung selepas dibenarkan beroperasi semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

“Tiket masuk ke Taman Buaya Jong ialah RM14 bagi dewasa termasuk pengunjung dari luar negara, manakala kemasukan percuma untuk kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun sehingga hujung September depan,” katanya kepada Suara Sarawak di sini kelmarin.

Foto Ghazali Bujang

Menurut Yia Qing, sebelum ini, harga tiket untuk pelancong asing ialah RM24 manakala kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun ialah RM12.

“Kami juga mengehadkan jumlah pengunjung dalam satu masa dengan hanya 100 orang dibenarkan masuk untuk menjaga jarak fizikal. “Bagaimanapun, selepas dibenarkan beroperasi semula, jumlah pengunjung ke taman kami kurang daripada 100 orang sehari,” katanya.

Tegasnya, jumlah pengunjung ke taman buaya terbesar di Sarawak itu jatuh mendadak akibat pandemik Covid-19 terutamanya semasa PKP dikuatkuasakan.

“Jika dahulu, jumlah pengunjung ke Taman Buaya Jong ialah 50 orang sehari dan boleh mencecah 500 orang pada hujung minggu. “Kini, kami pernah menerima cuam dua pengunjung dalam sehari dan kurang 100 orang pada hujung minggu,” tambahnya.

Oleh itu, Yia Qing meminta rakyat Sarawak terus menyokong industri ekopelancongan tempatan yang bukan sahaja digunakan untuk membayar gaji pekerja, malah membeli makanan lebih 1,000 buaya di taman berkenaan.

Tambahnya, satu tan ayam diperlukan untuk makanan semua buaya terbabit dalam tempoh sebulan yang turut mempunyai buaya bersaiz mega seperti Bujang Sudin dari Gedong dan Bujang Samariang.

“Namun, kami amat bersyukur kerana mendapat bantuan daripada kerajaan melalui Perkeso untuk membayar gaji 20 pekerja sebanyak RM1,200 sebulan dalam tempoh enam bulan.

“Malah, kami juga terpaksa mengurangkan jumlah pekerja daripada 20 orang kepada 15 orang kerana mematuhi SOP,” katanya.

Orang ramai yang berkunjung ke Taman Buaya Jong bu kan sahaja boleh menyaksikan reptilia ganas itu tetapi boleh melihat 30 haiwan lain seperti beruang matahari, musang, ular sawa, tupai, burung merak dan sebagainya.

Foto Ghazali Bujang

Suara Sarawak