KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 10,000 kekosongan pelbagai jawatan ditawarkan pada Talent Recruitment and Career Exhibition (Trace) di Unimas bermula esok hingga Khamis.

Penganjur Trace, Profesor Dr. Siti Raudzah Ghazali berkata, sebanyak 100 syarikat mengambil bahagian dalam penganjuran penawaran kerjayaan kali keenam ini.

“Kekosongan yang ditawarkan pula daripada peringkat lepasan ijazah, diploma dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk jawatan tinggi.

“Daripada 100 syarikat yang menyertai Trace, satu pertiga merupakan syarikat dari Sarawak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Profesor Dr. Siti Raudzah Ghazali (kiri) bersama Pengurus Negara Jobstreet, Gan Bock Herm pada sidang media di Unimas, Kota Samarahan, hari ini.

Menurut Siti Raudzah, Unimas buat julung kalinya bekerjasama dengan Jobstreet dan Protege dibawah Kementerian Keusahawanan dalam penganjuran Trace.

“Kebanyakan syarikat dibawah Protege menawarkan program latihan keusahawanan untuk lepasan graduan.

“Malah, syarikat London Stock Exchange yang berpangkalan di London turut mengambil bahagian dalam Trace ini,” jelasnya.

Dari segi sambutan pula, Siti Raudzah berkata, berdasarkan pengalaman lalu, sememangnya Trace mendapat sambutan yang menggalakan.

“Tahun lalu, lebih 10,000 pengunjung ke Trace manakala tahun sebelumnya, (2017) kira-kira 25,000 pengunjung.

“Oleh itu, kita mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke Trace kali ini dan memohon jawatan kosong yang ditawarkan,” ujarnya.