ARTIKEL

Datuk Lo Khere Chiang ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.

Projek Pembangunan Berskala Besar Sarawak Perlu Dinilai Berdasarkan Manfaat Jangka Panjang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Projek pembangunan berskala besar di Sarawak, termasuk Transit Aliran Autonomi (ART) dan cadangan pembinaan lapangan terbang baharu, wajar dinilai secara adil berdasarkan manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata, projek infrastruktur di Sarawak seharusnya diberikan pertimbangan yang sama seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) dan pembesaran lapangan terbang di Pulau Pinang.

Menurutnya, rakyat Sarawak juga berhak menikmati kemudahan infrastruktur moden dan pembangunan yang setara dengan negeri lain bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan ketersambungan pengangkutan.

“Jika projek LRT dan pembesaran lapangan terbang dianggap berbaloi di Pulau Pinang, maka projek ART dan lapangan terbang baharu di Sarawak juga perlu dinilai secara adil berdasarkan manfaatnya, bukan ditolak hanya kerana merupakan projek berskala besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam perbahasannya, Lo turut mempersoalkan kritikan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen dengan kedudukan kewangan Sarawak, sedangkan menurutnya, Kerajaan Persekutuan secara konsisten mencatatkan defisit belanjawan antara RM70 bilion hingga RM80 bilion setahun.

Katanya, defisit RM800 juta yang dicatatkan Sarawak pada 2025 perlu dilihat dalam konteks perbelanjaan pembangunan kerajaan negeri, termasuk pengambilalihan pelabuhan, pembinaan jambatan dan jalan raya serta penyediaan infrastruktur ART yang memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat.

“Rakyat Pulau Pinang berhak menikmati kemajuan dan pembangunan, sebagaimana rakyat Sarawak juga berhak mendapat manfaat yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Lo berkata, hasil Sarawak bagi 2027 diunjurkan mencecah RM15.091 bilion.

Menurutnya, Belanjawan Sarawak 2027 turut memperuntukkan RM10.098 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dengan unjuran lebihan belanjawan sebanyak RM246 juta.

Beliau turut mengimbas kenyataan seorang pemimpin kanan Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 2019 yang didakwanya pernah meramalkan Sarawak berisiko muflis dalam tempoh tiga tahun, namun peningkatan hasil negeri ketika ini disifatkannya mencerminkan keupayaan kerajaan mengurus kewangan serta meneruskan pelbagai projek pembangunan utama.

Lo berkata, perkembangan itu merupakan hasil perancangan strategik, pengurusan sumber secara berhemat serta hala tuju pembangunan yang jelas di bawah kepemimpinan Abang Johari.
Katanya, kerajaan negeri juga terus memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan sumber minyak dan gas, di samping memperkukuh infrastruktur, sektor penerbangan dan ekonomi negeri.

“Pencapaian tersebut bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan dan perancangan teliti bagi membangunkan Sarawak sebagai negeri yang lebih kukuh, berdaya tahan dan makmur,” katanya sambil menekankan usaha meneroka peluang dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU