Jangan cabar, sebaliknya bersama bangun Baram

KUCHING: Sekiranya pemimpin PKR Cabang Baram benar-benar mahu membangunkan kawasan Baram, mereka tidak sepatutnya mencabar wakil rakyat sedia ada sebaliknya berunding bersama memajukan kawasan.

Setiausaha Agung GPS Datuk Datuk Alexander Nanta Linggi mengulas perkara tersebut susulan dengan cabaran yang dilontarkan oleh Pengerusi PKR Cabang Baram Roland Engan terhadap tiga wakil rakyat GPS di kawasan Baram.

“Sekiranya dia (Roland) benar- benar mahu membangunkan kawasan Baram dan memajukan rakyat, dia tidak perlu mencabar kerana kita memang sentiasa berkhidmat untuk masyarakat,” tegas Alexander semasa dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Beliau menambah, jika Roland ikhlas dalam perjuangannya, cadangan yang dilontarkan jangan dijadikan ‘cabaran’ sebaliknya dijadikan cadangan.

“Kalau dia ikhlas jangan lontarkan ia sebagai cabaran, biar ia dijadikan sebagai cadangan, kita akan berunding dengan pemimpin wakil rakyat di sana sebagai satu suara,” katanya.

Bagaimanapun kata Alexander, cabaran yang dikemukakan oleh Roland kepada tiga pemimpin GPS untuk membentangkan usul naik taraf status Daerah Baram kepada Bahagian baharu ke dalam persidangan Dun, lebih baik dijadikan sebagai cadangan bernas.

“Bagi saya cadangan tersebut bagus dan terpulang kepada pemimpin di kawasan Baram untuk mengusulkan perkara tersebut kepada Dun Sarawak.

“Kita tidak akan politikkan semua isu, namun jika dilihat dari sudut lain (cadangan) ia akan memperhebatkan pembangunan di kawasan berkenaan dan memberi manfaat kepada semua,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kapit itu menambah, Ketua PKR Cabang Baram mempunyai pemikiran yang sempit kerana perkara sedemikian tidak sepatutnya dijadikan bahan politik di mana mencabar GPS bagi mewujudkan persaingan.

“Kita sewajarnya melihat kawasan lain terlebih dahulu yang bukan status Bahagian. Ini kerana, apabila sesuatu kawasan diangkat kepada status Bahagian perkara perlu diteliti.

“Apa yang dinyatakan oleh PKR Cabang Baram ini bukan idea baharu,” katanya.