Retak menanti belah

Tindakan Timbalan Presiden PSB keluar parti setahun jagung Khamis lalu bagi sesetengah orang amat mengejutkan.

Bagi yang lain, memang sudah menjadi amalan Datuk Dr Jerip Susil untuk melompat parti sejak zaman parti Star suatu ketika dahulu. Jadi, apa yang menghairankan dengan tindakan Adun Mambong itu?

Dr Jeniri Amir

Apakah yang menggerakkan Dr Jerip, salah seorang pengasas PSB, bertindak drastik kali ini mninggalkan rakan seperjuangannya? Adakah kerana sudah tidak yakin dengan kepemimpinan Datuk Sri Wong Soon Koh? Pelbagai khabar angin berlegar sekitar parti berkenaan kebelakangan ini.

Dr Jerip, mengakui ia bukan keputusan mudah. Sebaliknya, menurut pemimpin Bidayuh itu, ia keputusan yang berat. Beliau percaya hanya GPS di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mempunyai visi, komitmen serta program membawa pembangunan yang lebih baik kepada kawasan luar bandar.

Kepentingan Sarawak

Menurutnya, keputusan itu juga sebagai sokongan kepada usaha Abang Johari yang komited melindungi hak Sarawak.

Dr Jerip juga berkata keputusannya itu dibuat selepas berunding dengan rakyat dan penyokong dalam kawasan yang diwakilinya, Dun Mambong.

Berdasarkan justifikasi tersebut, secara implikasi bermaksud beliau tidak yakin lagi berada dalam PSB. Hanya dengan bergerak di bawah GPS, maka kepentingan rakyat dapat dilindungi dan diperjuangkan. Beliau tentu tahu apa-apa yang berlaku dalam PSB, termasuk kelemahan dan kekurangannya sehingga membuat kesimpulan berkenaan.

PSB yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP) dijenamakan semula awal tahun ini. Ia parti serpihan SUPP, parti tertua ditubuhkan 1959 di Sarawak, ekoran krisis kepemimpinan.

PSB seperti UPP sebelumnya, mendakwa ia mesra GPS, parti kerajaan yang memerintah di Sarawak. Tetapi untuk sekian lama, ia bagai duri dalam daging bagi SUPP dan kerajaan GPS.

Sebab, meskipun bukan komponen GPS, Presidennya Datuk Wong Soon Koh dan Timbalan Presidennya Dr Jerip Susil menjadi menteri dan menteri muda dalam Kabinet Sarawak. Adun mereka juga diberi peruntukan untuk pembangunan di kawasan masing-masing.

Ahli mereka juga dilantik sebagai ahli majlis tempatan. Kini, mereka tidak lagi mempunyai keistimewaan berkenaan. Ini selari dengan tuntutan dan desakan SUPP dan PRS – dan desakan itu memang wajar.

Tindakan Bermaruah

Malah, ada yang mahu melihat Soon Koh digugurkan. Sebenarnya, kalau beliau punya sedikit maruah dan integriti, Adun Bawang Assan itu seharusnya tidak menunggu untuk digugurkan. Lebih baik beliau mengambil tindakan lebih bermaruah dengan mengundurkan dirinya daripada Kabinet daripada menunggu digugurkan.

Bagaimana mungkin parti yang bukan anggota GPS menikmati keistimewaan seolah-olah mereka anggota pakatan berkenaan. PSB perlu realistik. Tindak-tanduknya banyak menimbulkan kesangsian, masalah dan teka-teki. Benarkah PSB betul-betul mesra GPS atau bermain mata dengan PH?

Pengunduran Dr Jerip dari PSB menghantar mesej jelas bahawa PSB bukan platform sesuai untuk memperjuangkan nasib rakyat.

Difahamkan ada lagi yang akan mengambil langkah sama seperti dilakukan Dr Jerip. Jika betul ini berlaku, bermakna ini ialah manifestasi ketidakyakinan terhadap kepemimpinan Soon Koh, tetapi berlaku keretakan dalam parti. Atau adakah retak sedang menanti belah dalam PSB?

Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan permohonan parti itu menukar nama daripada UPP kepada PSB serta mengguna logo baharu pada 22 Februari lalu.

Logo baharu parti memperlihatkan matahari cerah terbit dari horizon Sarawak. Tanah Sarawak dengan matahari terbit ialah simbol bahawa PSB parti berasaskan Sarawak yang tulen.

Persoalannya, masih adakah sinar cahaya di horizon untuk PSB? Atau parti itu kini berdepan zaman suram susulan perkembangan terbaharu ini?

Tidak Punya Pilihan

Kini PSB tidak punya pilihan. Ia sedar nasib yang bakal menimpanya. Ia tidak seharusnya bermain kongkalikung; maksudnya, tidak dapat cakap lain di depan, lain di belakang. PSB tidak dapat bermain kayu tiga dengan GPS.

PSB perlu jujur, bertindak tanpa menimbukan keraguan dan seharusnya bersikap bertanggungjawab. Sebarang keputusan dibuat oleh pemimpin dan ahlinya, termasuk keluar parti tentu bersebab.

Jadi, ke manakah hala tuju PSB selepas ini? PSB perlu membuat perhitungan bijak dan segera, tanpa perlu menunggu lama.

Ia tentu tahu, mengapa pemimpinnya keluar parti dan mengapa tindakan tertentu diambil terhadapnya. Jadi, bagi PSB, ia perlu membuat perhitungan. Ya, alang-alang menyeluk pakasam, biar sampai ke pangkal lengan.

SUPP awal Mac lalu mahu penarikan semua pelantikan kerajaan kepada semua pemimpin PSB seperti pelantikan menteri, setiusaha politik kepada ketua menteri, ahli majlis dan pengerusi majlis.

Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, SUPP juga menyokong dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dipotong serta-merta.

Adakah dengan perkembangan terbaharu ini akan membawa kepada pengguguran Wong Soon Koh daripada Kabinet Sarawak?

Yang pasti dengan keputusan Jerip Susil keluar dari PSB menandakan ada sesuatu yang tidak kena dalam PSB.

Ia membayangkan berlakunya konflik dan perpecahan, dan mungkin juga ketidakyakinan terhadap kepemimpinan Wong Soon Koh. Ya, tunggu apa lagi Soon Koh?