ARTIKEL

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku.

Namun, sejarah boleh hilang apabila dokumen tidak dipelihara, rekod gagal diakses dan pengalaman generasi terdahulu gagal diwariskan.

Sebagai penulis, wartawan dan penyelidik selama lebih tiga dekad, penulis cukup akrab dengan perpustakaan dan arkib.

Keperluan mendapatkan bahan rujukan memaksa penulis membina perpustakaan sendiri, mengumpulkan buku, dokumen dan pelbagai penerbitan yang ada kalanya sukar ditemukan.

Namun, koleksi peribadi tetap terbatas.

Perpustakaan dan arkib awam masih menjadi tempat penting untuk menguji fakta, meneliti dokumen asal dan menemukan maklumat yang tidak terdapat dalam penerbitan biasa.

Kadangkadang apa yang ditafsirkan betul sebelumnya, rupanya salah, kerana kita gagal menemukan maklumat sebenar – yang mungkin terbenam di dalam arkib dan himpunan maklumat di pustaka.

Persoalannya, berapa ramai dalam kalangan kita yang benar-benar memanfaatkan perpustakaan?

Berapa ramai dalam kalangan kita pernah berkunjung ke Pustaka Negeri Sarawak yang tersergam indah di Petra Jaya, Kuching — bukan untuk melihat keindahan bangunannya.

Persoalan ini semakin relevan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada Selasa lalu, selepas dibahaskan oleh 16 wakil rakyat.

Pindaan terhadap ordinan yang telah berusia 27 tahun itu bukan sekadar menyusun semula kuasa pentadbiran.

Ia turut membuka ruang kepada penubuhan arkib memorial bagi memelihara warisan tokoh, bekas pemimpin dan peristiwa penting dalam sejarah Sarawak.

Namun, persoalan lebih besar ialah sama ada pembaharuan perundangan ini mampu menjadikan khazanah sejarah negeri lebih mudah diterokai, bukan sekadar lebih tersusun dalam simpanan.

Sepanjang 2024, Pustaka Negeri Sarawak merekodkan 115,189 pengunjung, selain menganjurkan 1,751 program galakan membaca dengan penyertaan keseluruhan 126,621 orang.

Tujuh tahun lalu, jumlah keahliannya pernah mencecah 133,820 orang. Berapa ramai pula agaknya jumlah mereka yang berkunjung ke Repositori Rekod Negeri Sarawak atau Pusat Depositori di Jalan Cahya Indah?

Premis ini mempunyai fungsi khusus dalam pemeliharaan rekod dan menyediakan sumber rujukan penting kepada penyelidik serta golongan profesional.

Repositori Rekod Negeri bertanggungjawab memelihara rekod awam berusia lebih 25 tahun, selain mendapatkan rekod berkaitan Sarawak yang diwujudkan pada atau sebelum 1963, termasuk bahan dari luar negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang, sehingga Jun 2026,

institusi berkenaan menyimpan 935,852 rekod arkib kerajaan yang terkandung di dalam 81,893 fail.

Turut dipelihara ialah 6,715 rekod dari tahun 1963, manakala Koleksi Khas Sarawakiana mempunyai lebih 250,000 jilid bahan dan data.

Di dalamnya mungkin tersimpan surat-menyurat pentadbiran, laporan, keputusan dasar dan pelbagai dokumen yang dapat menjelaskan perjalanan politik, ekonomi serta sosial Sarawak.

Rekod tahun 1963 khususnya mempunyai kepentingan tersendiri kerana berkait dengan era pembentukan Malaysia, satu peristiwa yang terus menjadi rujukan dalam memahami kedudukan dan sejarah kenegaraan Sarawak.

Portal rasmi RECARS Pustaka menyenaraikan 7,741 rekod dan bahan arkib untuk rujukan, termasuk rekod mengikut jabatan, subjek dan mikrofilem.

Angka tersebut bukan keseluruhan koleksi yang disimpan. Ia merujuk kepada bahan yang disenaraikan dalam sistem berkenaan.

Perbezaan ini menimbulkan persoalan penting tentang kemudahan carian, tahap pendigitalan dan akses kepada koleksi arkib yang begitu besar.

Memiliki hampir sejuta rekod merupakan pencapaian institusi.

Tetapi nilainya kepada masyarakat bergantung pada sejauh mana rekod itu dapat ditemukan, diteliti dan digunakan.

Sehingga Ogos 2026, Pustaka Negeri Sarawak menerima 53,200 naskhah bahan terbitan yang merangkumi 13,320 judul.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting, bahan tersebut diterima menerusi pelaksanaan Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak 1999.

Pustaka turut membangunkan Legal Deposit Management System (LDMS) bersama Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) bagi memperkemas penerimaan, perekodan dan pemeliharaan bahan terbitan secara digital. Perkembangan ini memperlihatkan perubahan tanggungjawab institusi perpustakaan.

Jika dahulu tumpuannya lebih banyak kepada pengumpulan dan penyimpanan bahan bercetak, kini cabarannya merangkumi pengurusan dokumen elektronik, keselamatan data dan kemampuan memastikan bahan digital kekal boleh diakses dalam jangka panjang.

Yang pasti perubahan teknologi menjadikan pemeliharaan semakin kompleks.

Dokumen yang tersimpan dalam format digital hari ini belum tentu dapat dibaca beberapa dekad akan datang tanpa sistem dan kaedah pengurusan yang sesuai.

Justeru, pemodenan perpustakaan tidak boleh terbatas kepada kemudahan fizikal atau jumlah koleksi. Ia memerlukan keupayaan teknikal, kepakaran profesional dan perancangan berterusan.

Antara perubahan paling signifikan dalam pindaan Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak 2026 ialah pemberian kuasa kepada Pustaka Negeri untuk menubuhkan, mengurus dan menyelenggara arkib memorial.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn ketika membentangkan RUU berkenaan menegaskan bahawa bahan sejarah perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

“Sarawak mempunyai sejarah yang kaya, dibentuk oleh rakyatnya, institusi serta peristiwa yang telah menyumbang kepada pembangunan negeri ini.

“Seiring peredaran masa, bahan-bahan yang berkaitan dengan sejarah tersebut, termasuk dokumen, rekod, barangan peribadi dan bahan sejarah lain, perlu dipelihara dengan sewajarnya demi manfaat generasi akan datang,” katanya.

Penubuhan arkib memorial merupakan langkah yang wajar, terutama ketika banyak bahan sejarah tokoh dan pemimpin mungkin masih berada dalam simpanan keluarga atau koleksi persendirian.

Surat peribadi, manuskrip, gambar, catatan harian dan rakaman suara boleh mengandungi maklumat yang tidak pernah dimasukkan ke dalam dokumen rasmi kerajaan.

Bagi penyelidik biografi dan sejarah politik, bahan seperti ini sering menjadi sumber yang mampu menjelaskan latar sesuatu keputusan, hubungan antara tokoh atau peristiwa yang selama ini hanya diketahui melalui cerita lisan.

Namun, arkib memorial juga mengundang persoalan yang perlu ditangani secara serius.

Siapakah yang akan menentukan tokoh atau peristiwa yang layak diberikan arkib memorial?

Apakah kriteria pemilihannya?

Dan, sejauh mana bahan yang dikumpulkan akan dibuka kepada penyelidik?

Arkib memorial tidak seharusnya menjadi tempat mengabadikan pujian sematamata.

Sejarah seseorang tokoh tidak hanya terbentuk daripada kejayaan, tetapi juga keputusan sukar, pertentangan pandangan, cabaran dan kesan tindakannya terhadap masyarakat.

Jika bahan dipilih hanya untuk membina gambaran yang menyenangkan, arkib mungkin berjaya memperingati seseorang, tetapi gagal memberikan pemahaman sejarah yang menyeluruh.

Sebab itu, nilai arkib memorial mesti terletak pada keaslian bahan, ketelitian pengurusan dan kebebasan penyelidikan yang munasabah, tertakluk kepada keperluan undangundang serta perlindungan maklumat tertentu.

Arkib yang berwibawa tidak menentukan terlebih dahulu bagaimana seseorang tokoh harus dikenang.

Ia menyediakan bukti supaya generasi kemudian dapat membuat penilaian berdasarkan fakta.

Selain arkib memorial, pindaan 2026 turut menyusun semula struktur tadbir urus Pustaka Negeri Sarawak.

Kuasa tertentu yang sebelum ini terletak pada Lembaga Multimedia Sarawak dipindahkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri yang bertanggungjawab, mengikut bidang kuasa masing-masing.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan bertanggungjawab terhadap pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan anggota Lembaga Pustaka Negeri, termasuk menentukan syarat serta membatalkan pelantikan apabila perlu.

Pindaan itu juga memperjelas kaedah peletakhakan harta kerajaan secara langsung kepada Pustaka Negeri, berbanding pengaturan terdahulu di bawah Seksyen 6 Ordinan Induk.

Sementara itu, Seksyen 29A baharu membolehkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meminda jadual ordinan melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan tanpa perlu meminda Ordinan Induk setiap kali perubahan diperlukan.

Secara keseluruhannya, perubahan ini bertujuan memperkemas pentadbiran, memperjelas tanggungjawab dan memberikan fleksibiliti kepada institusi untuk berkembang mengikut keperluan semasa.

Ukuran keberkesanannya harus dilihat melalui kecekapan pengurusan koleksi, ketelusan pentadbiran, mutu perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan kepada pengguna.

Yang pasti, Sarawak memerlukan lebih banyak penyelidikan sejarah. Sarawak mempunyai perjalanan sejarah yang panjang dan kompleks, daripada era sebelum pemerintahan Brooke, pentadbiran kolonial British, pembentukan Malaysia pada 1963, sehinggalah kepada perkembangan politik serta ekonomi moden.

Pengalaman penulis dalam penyelidikan biografi memperlihatkan bahawa satu dokumen kadangkala mampu memberikan jawapan yang tidak ditemukan melalui puluhan wawancara.

Minit mesyuarat pula boleh menjelaskan proses sesuatu keputusan.

Surat lama boleh memperlihatkan hubungan antara individu. Gambar yang mempunyai tarikh dan keterangan tepat pula boleh mengesahkan peristiwa yang selama ini hanya disebut dalam ingatan seseorang.

Sebab itu, pemeliharaan arkib harus berjalan seiring dengan usaha menggalakkan penyelidikan.

Kerjasama dengan universiti, penulis, wartawan, ahli sejarah dan penyelidik bebas boleh membantu memperluas penggunaan koleksi Pustaka Negeri Sarawak.

Penerbitan katalog yang lebih terperinci, pengembangan sistem carian digital serta garis panduan akses yang jelas juga akan memudahkan bahan dikenal pasti tanpa memerlukan penyelidik bergantung sepenuhnya kepada pencarian manual.

Lebih penting, rekod yang berkaitan dengan sejarah Sarawak, khususnya sekitar pembentukan Malaysia, wajar diberikan perhatian penyelidikan yang berterusan. Perkara ini bukan semata-mata soal mengimbau masa lalu.

Kefahaman terhadap sejarah pentadbiran dan perkembangan perundangan juga penting untuk menilai persoalan semasa berdasarkan konteks yang tepat.

Sarawak tidak kekurangan sejarah.

Yang diperlukan ialah usaha lebih gigih untuk menemukan, meneliti dan menulisnya dengan bersandarkan sumber yang boleh dipertanggungjawabkan.

Perpustakaan sentiasa menjadi tempat untuk mencari jawapan, biarpun sering membuka persoalan baharu. Ini menjadikan sesebuah arkib hidup, bukan mati sebagai stor simpanan.

Sejarah yang tidak dipelihara akan hilang. Tetapi sejarah disimpan tanpa diterokai akhirnya tidak banyak berbeza daripada sejarah yang dilupakan.

Pindaan undangundang telah menyediakan ruang untuk Pustaka Negeri Sarawak memainkan peranan yang lebih besar.

Semoga ia tidak sekadar menjadi kebanggaan institusi.

Tetapi sumber yang melahirkan lebih banyak penulisan, penyelidikan dan pemahaman baharu tentang Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU