DBKU mahu atasi masalah tapak pelupusan sampah haram

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bercadang membina Eco Depo di kawasan seluas 6.8 hektar di Demak Laut di sini bagi mengatasi masalah tapak pelupusan sampah haram di bandar raya ini.

Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata orang ramai boleh membuang sampah secara percuma di Eco Depo itu sekali gus mengelak kewujudan tapak pelupusan sampah haram.

“Jika beroperasi nanti, pelbagai sampah boleh dibuang orang ramai di tapak terbabit kecuali bahan buangan (kimia) berjadual dan bahan buangan dari hospital,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara DBKU dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kompleks Islam, di sini,  semalam.

Perjanjian persefahaman itu antara lain bertujuan mengetengahkan produk usahawan Kejiranan Mesra (KJM) melalui latihan yang profesional dan lengkap merangkumi kaedah pemasaran, pengiklanan, penjenamaan dan pembungkusan.

Selain itu, DBKU juga mendatangani perjanjian sama dengan Pestech International Berhad, Layar Bumimas Sdn Bhd dan Betsol Sdn Bhd.

Abang Wahap berkata sampah yang dibuang orang ramai di tapak Eco Depo kemudian akan diasingkan kepada bahan buangan organik, peralatan elektrik dan elektronik atau bahan binaan serta dikitar semula atau dijadikan bahan kompos.

Beliau berkata DBKU ketika ini sedang merancang pembinaan tapak terbabit dan seterusnya membawa cadangan itu kepada kerajaan negeri berikutan masalah tapak pelupusan sampah haram masih berlaku di bandar raya ini.

“Di  tapak pelupusan sampah haram Samariang di sini, kita (DBKU) sudah berkali-kali membuat operasi dan mengeluarkan kompaun kepada orang ramai yang membuang sampah di sana dan mereka berhenti melakukannya, tetapi selepas itu orang lain pula yang melakukannya,” katanya.

Sementara itu, mengenai operasi menangkap anjing liar di Taman Budaya di sini selepas menerima aduan terdapat kes orang awam digigit haiwan itu, Abang Wahap berkata setakat ini sebanyak sembilan anjing liar berjaya ditangkap.

“Orang (ramai) boleh pergi ke sana sekarang (Taman Budaya), hanya ada beberapa tempat yang ditutup kerana perangkap kita masih ada di sana,” katanya sambil menambah bahawa hanya seekor anjing yang ditangkap itu telah disahkan positif rabies oleh  Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.