SIMANGGANG: Masalah kesesakan lalu lintas dari simpang masuk Temudok di Lebuh Raya Pan Borneo menuju ke Bandar Simanggang dijangka dapat diatasi dalam tempoh tiga hingga empat tahun menerusi pembinaan jalan berkembar oleh Kerajaan Sarawak.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek sepanjang sembilan kilometer itu antara projek pembangunan utama bernilai RM334 juta yang diluluskan sebelum ini.
Menurutnya, keadaan jalan sedia ada yang sempit, ditambah dengan pembangunan pesat serta peningkatan jumlah kenderaan, menyebabkan kesesakan lalu lintas semakin kerap berlaku di laluan berkenaan.
“Jalan raya dari simpang masuk Lebuh Raya Pan Borneo ke Bandar Simanggang ini sempit dan sering berlaku kesesakan ekoran pembangunan pesat yang dialami.
“Jumlah kenderaan semakin meningkat seiring dengan pertambahan pendapatan rakyat berbanding dahulu, sekali gus menyumbang kepada kesesakan.
“Justeru, kerajaan telah meluluskan pembinaan jalan berkembar sepanjang sembilan kilometer dengan kos RM334 juta dan projek ini dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.
Jelasnya, pembinaan jalan berkembar itu juga penting bagi menampung peningkatan aliran trafik susulan pembukaan Jambatan Batang Lupar Dua, hari ini, manakala Jambatan Sungai Lingga yang dijangka siap tidak lama lagi turut akan meningkatkan hubungan dari Bandar Simanggang ke Sebuyau.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, kerajaan turut merangka pelan pembangunan bersepadu bagi memacu pertumbuhan Sri Aman sebagai bandar yang lebih maju dan moden dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Pembangunan bersepadu telah diluluskan dan akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun, termasuk pembinaan sebuah pusat konvensyen mini di kawasan Jambatan Batang Lupar Dua.
“Selain itu, kawasan sekitar jambatan berkenaan turut dikenal pasti sebagai tumpuan pembangunan bandar utama menerusi pembangunan sebuah penempatan baharu yang bercirikan perbandaran moden.
“Perancangan ini turut melibatkan pemanjangan kawasan tebingan sungai sedia ada sehingga ke kawasan Jambatan Batang Lupar Dua, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan kawasan bandar baharu yang lebih moden dan terancang,” ujarnya.
Pembangunan tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan Bandar Simanggang, selain meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan sebagai pusat aktiviti ekonomi, perdagangan dan penempatan baharu di Bahagian Sri Aman.




