Leraikan kekusutan sekolah daif

BETONG: Pendukung sektor pendidikan terutamanya kumpulan guru di Sarawak mengharapkan rundingan antara Kerajaan Sarawak dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan dapat memuktamadkan isu sekolah daif yang sekian lama asyik disorong tarik.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong memaklumkan semalam, isu sekolah daif bakal menemui cahaya penyelesaian selewat-lewatnya minggu hadapan.

Katanya, satu sesi perjumpaan meja bulat antara wakil kementeriannya dengan pihak Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan dijangka menyelesaikan segala kekusutan berkaitan sekolah daif di Sarawak selama ini.

Secara dasar, perkara tersebut disambut baik oleh guru di negeri ini.

Rata-rata mengharapkan akan ada perkhabaran positif mampu dijelmakan.

Penolong Kanan Kokurikulum SMK Kabong Saini Bakar menyifatkan isu sekolah daif umpama bercucuk tanam.

“Analoginya mudah, seperti kita bercucuk tanam. Sekiranya tanah yang digunakan baik, cukup dengan baja dan dijaga rapi, Insya-Allah hasil tanaman akan lebih sempurna berbanding tanaman yang dibiarkan begitu sahaja tanpa pengawasan.

“Cuba bayangkan kita menanam jagung di atas tanah yang tidak sesuai, jagung akan tetap tumbuh tetapi hasilnya nanti tidak berapa elok.

“Jadi, samalah juga dengan murid sekolah. Walaupun kita ada guru yang hebat malah guru pakar sekalipun, tetapi dengan keadaan sekolah yang daif maka, secara tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan murid dan motivasi guru untuk mengajar,” katanya.

Jelas Saini, kekangan seperti fizikal sekolah sepatutnya dilihat dengan lebih teliti.

“Maka saya melihat usaha untuk membangunkan sekolah daif amat bertepatan dengan inisiatif semua pihak yang mengharapkan kemenjadian pelajar ke arah yang gemilang dan terbilang.

“Kita mengharapkan ada keputusan positif daripada perjumpaan itu nanti kerana penyelesaian terhadap sekolah daif amat diperlukan.

“Saya amat bersetuju apabila Kerajaan Sarawak berusaha untuk membangunkan sekolah daif sekali gus meningkatkan produktiviti modal insan di negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Nanga Passa Abang Mohd. Tawfik Abang Bujang menyatakan Sarawak sememangnya bersungguh-sungguh untuk mengatasi sekolah daif.

“Secara dasar, pengaruh politik begitu kuat dalam soal ini yang mana kita melihat Sarawak begitu serius sedangkan Kerajaan Persekutuan masih kelihatan ragu-ragu.

“Sehingga ada cadangan untuk mewujudkan sekolah berpusat dan jelas 100 peratus ibu bapa, komuniti setempat tidak bersetuju.

“Begitu juga program susu sekolah ditangguhkan, 1Bestarinet sekolah diputuskan… yang menjadi mangsa ialah pihak sekolah.

“Saya tidak gemar berbicara lebih kerana ia dilihat sebagai mainan politik.

“Sebab itu, sesi perjumpaan meja bulat antara wakil Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak dengan pihak Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan diharap dapat menyelesaikan segala kekusutan terutamanya melibatkan sekolah daif,” jelasnya.

Penolong Kanan Kokurikulum SK Tambak Mohd. Sharkawi Meni memberitahu tindakan tersebut sebagai petanda yang bagus dengan harapan segala usaha menyelesaikan isu sekolah daif dapat dipercepatkan.

“Kalau disebutkan sekolah daif, kita tidak perlu merujuk jauh… lihat sahaja SK Tambak, pihak sekolah begitu risau dengan keselamatan warga sekolah.

“Ia sekali gus mengganggu pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan tidak mustahil menjejaskan prestasi sekolah,” katanya.

Beliau mengharapkan isu sekolah daif agar tidak terus dipolitikkan dan kerjasama baik antara Kerajaan Sarawak dan Persekutuan amat diharapkan kerana menyentuh soal pendidikan, amat penting ialah usaha untuk melahirkan modal insan yang berguna.

“Penyelesaian dalam isu sekolah daif untuk ditamatkan merupakan harapan besar warga luar bandar dan pedalaman,” kata Penyelia Unit Pendidikan Islam PPD Saratok Shahrizan Sarbini

Menurutnya, isu sekolah daif di Sarawak bukan isu baharu.

“Kekurangan prasarana dan infrastruktur di sekolah-sekolah di kawasan luar bandar amat menyedihkan terutamanya sekolah berasrama.

“Jadi, besar harapan kita melalui rundingan itu nanti yang berfokus untuk menyelesaikan masalah sekolah daif dengan peruntukan khas bagi menjamin kualiti anak-anak dalam mendapatkan ilmu,” tegasnya.

Suara Sarawak