Empat maut sesat di hutan

KUCHING: Sebanyak 37 kes melibatkan sesat dan hilang di hutan dicatatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Pengarah Bomba Sarawak Khirudin Drahman berkata, daripada jumlah tersebut empat kematian dilaporkan dan lima cedera.

“Kes tertinggi orang hilang di hutan ialah di Lundu melibatkan lima kes. Manakala kedua tertinggi ialah Saratok, Bintulu dan Sri Aman melibatkan tiga kes.

“Selain itu, bagi Siburan dan Bau pula melibatkan dua kes, dan di Samarahan, Marudi, Lopeng, Tabuan Jaya, Bintangor, Miri, Lawas, Tatau, Serian, Kapit dan Betong masing-masing hanya satu kes,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Beliau berkata, satu kes kematian di Bahagian Saratok, Sri Aman, Lopeng dan Kapit.

Khirudin turut menyatakan kebanyakan mangsa sesat di hutan dan ditemui dalam keadaan lemah serta ada yang melibatkan kematian.

“Kebanyakan kehilangan mangsa akibat kurang persediaan dari segi bekalan makanan yang cukup dan ubat-ubatan semasa memasuki hutan.

“Mereka yang didapati hilang itu kebanyakannya golongan tua berusia 50 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata, kesukaran pihak bomba dalam misi mencari dan menyelamat adalah berpunca daripada kawasan yang terpencil dan sukar dimasuki kenderaan.

“Bagaimanapun, bantuan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan anjing pengesan amat membantu mengesan mangsa,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang ingin ke kawasan terpencil seperti hutan supaya mengutamakan keselamatan dan membawa bekalan yang cukup.

“Kawasan hutan amat mencabar, pelbagai ancaman boleh berlaku bila-bila masa.

“Sebaiknya sebelum masuk hutan pastikan bersama-sama rakan, bekalan makanan dan ubat yang cukup dan paling penting maklumkan kepada penduduk tempatan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan tentang aktiviti dijalankan,” katanya.

Suara Sarawak