Bunuh anak untuk ‘hilangkan setan’

LOS ANGELES: Seorang wanita California dijatuhi hukuman penjara 25 tahun kerana membunuh anak perempuannya yang berusia tiga tahun, yang ditinggalkan di dalam kenderaan panas selama hampir 10 jam untuk membersihkan anak itu dari syaitan, kata pegawai.

Angela Phakhin disabitkan pada Jun atas pembunuhan Maiya dan hukumannya dijatuhi pada Jumaat lepas, kata pejabat pendakwa raya daerah di Sacramento.

Tunang Phakhin, Untwan Smith, juga dituduh dalam kes itu dan sedang menunggu perbicaraan.

Pasangan itu berpindah ke California pada Februari 2016 dari Arkansas dan tinggal di dalam kereta mereka, kata pihak berkuasa.

Sepanjang tempoh dua minggu pada Jun 2017, pasangan itu meninggalkan Maiya di dalam kenderaan dengan suhu terik pada musim panas, kata mereka.

Pada satu ketika, dia ditinggalkan di dalam kereta selama empat jam setengah dan keesokan harinya selama sembilan jam setengah, yang mengakibatkan kematiannya, kata pendakwa raya.

“Phakhin diberi amaran berulang kali untuk melindungi Maiya dan dinasihat membawanya ke tempat perlindungan yang sejuk, tetapi dia tidak menerima tawaran itu,” kata pendakwa raya.

“Selepas kematian Maiya, Phakhin memberitahu penguatkuasa undang-undang bahawa dia dan Smith cuba menghilangkan syaitan dari badan Maiya.”

Phakhin dan Smith ditangkap pada 28 Jun 2017 di Rancho Cordova, utara San Francisco, selepas kenderaan SUV mereka dikesan oleh polis diparkir di tempat yang salah.

Pegawai mula menggeledah kenderaan mereka selepas pemeriksaan rekod mendedahkan bahawa Smith mempunyai waran tertunggak di Arkansas.

Maiya ditemui di bawah selimut di kerusi belakang dan disahkan mati di tempat kejadian. – AFP