1,080 tempat untuk pelajar baharu

KUCHING: Memasuki pasca-Covid-19, Politeknik Kuching Sarawak (PKS) aktif memainkan peranannya dengan menawarkan 1,080 tempat kepada pelajar baharu meneruskan pengajian pada 3 hingga 9 Ogos ini secara dalam talian.

Pengarahnya Jamaliah Ahmad berkata, sejajar dengan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN), PKS prihatin akan keselamatan pelajar dan kakitangannya dengan menyediakan SOP bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan.

“Pelajar dan warga kerja kita sentiasa diingatkan mengenai kelaziman baharu iaitu penggunaan PPE, penjarakan sosial dan tahap kebersihan yang tinggi.

SOP dan taklimat secara dalam talian dari semasa ke semasa akan diadakan.

“Taklimat ini dilaksanakan oleh Jawatankuasa Khas Kawalan Covid-19 PKS, dipengerusikan oleh pengarah disertai oleh Timbalan Pengarah Akademik, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, pengawai keselamatan, pengurusan asrama termasuk warden,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Pensyarah juga bersedia dengan kaedah baharu untuk menyampaikan pengajaran kepada pelajar yang mengikuti pengajian di PKS ini.

“Kaedah baharu pengajaran dan pembelajaran adalah secara dalam talian.

Namun pelajar dikehendaki hadir bagi sesi amali, bengkel dan kerja lapangan secara kelompok kecil dan berperingkat dengan mengambil kira penjarakan sosial.

“PKS masih mengekalkan pengisian kurikulum biasa hanya dengan kaedah penyampaian menggunakan kelaziman baharu.

“Persiapan dan kemudahan belajar disusun semula bagi memenuhi aspek keselamatan seperti garis panduan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti serta MKN,” katanya.

Malah dalam tempoh mencabar ini ujarnya, perkembangan teknologi memainkan peranan penting dalam pendidikan TVET dan PKS kini diperkukuhkan lagi dengan memasukkan elemen Revolusi Perindutrian 4.0 (IR4.0) dalam pengajian yang ditawarkan.

“Setiap program pengajian akan dimasukkan elemen IR4.0 agar pelajar kekal relevan sebagai sumber tenaga kerja dalam pasaran.

“Pelajar turut digalakkan menghasilkan projek akhir dengan memberikan penekanan kepada elemen IR4.0 ini.

“Para pensyarah juga disaran membuat penyelidikan dan inovasi yang mempunyai elemen IR4.0,” jelasnya.

Antara penyelidikan tersebut ialah Internet bendaan Internet of Thing (IOT) for Black Pepper Farming in Sarawak dengan nilai geran penyelidikan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia sebanyak RM113,500 dan Development of Abrasive Garnet Recycling System for Waterjet Cutting Industries dengan nilai geran RM121,000.

Diikuti Application of Dielectric Spectroscopy as Viscosity Measurement for Automation Industries dengan nilai geran RM190,000 dan Abrasive Recycling System dengan geran Private Public Research Network (PPRN) berjumlah RM33,000 dengan tujuan geran PPRN ini dapat membantu meningkatkan produktiviti.