BINTULU: Seramai 109 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu menerima pelbagai anugerah pada Majlis Apresiasi Bintulu Port Murid Cemerlang SeBARU 2025 di Hotel Imperial di sini, baru-baru ini.
Majlis tahunan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bintulu Port Prihatin.
Penganjuran ini membuktikan komitmen berterusan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dalam menyokong pembangunan pendidikan khususnya melibatkan sekolah angkatnya iaitu SMK Baru Bintulu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Bhd, Datuk Ruslan Abdul Ghani berkata, program tersebut bukan sekadar acara penghargaan tetapi juga manifestasi komitmen bersama dalam melahirkan generasi cemerlang yang seimbang dari segi akademik, kokurikulum dan sahsiah.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan, program ini telah memberi impak signifikan kepada warga SMK Baru Bintulu dan kejayaan sepanjang tiga tahun ini membuktikan bahawa industri, sekolah, ibu bapa dan komuniti berganding bahu untuk menghadapi cabaran dalam usaha menyuburkan kecemerlangan.
“Program ini juga untuk mengiktiraf pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam tiga aspek utama iaitu akademik, kokurikulum dan sahsiah.
“Ketiga-tiga elemen ini saling melengkapi dalam membentuk insan holistik yang bukan sahaja tinggi ilmu pengetahuannya, tetapi unggul budi pekerti dan kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan BPHB, Maslihah Tioh pada Majlis Apresiasi Bintulu Port Murid Cemerlang SeBARU 2025, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Ruslan menegaskan bahawa pendidikan merupakan senjata paling berkuasa dalam membentuk masa depan yang lebih baik bukan sahaja untuk individu malah masyarakat dan negara.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penerima anugerah atas kejayaan yang dicapai hasil usaha gigih, disiplin tinggi serta sokongan berterusan daripada ibu bapa dan guru.



