ARTIKEL

Dr. Sim dan Matthew mengadakan Program Walkabout sempena Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2026, hari ini.

11 Barangan Harga Terkawal Sempena Deepavali 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 11 jenis barangan keperluan ditetapkan sebagai barangan harga terkawal menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 di Sarawak selama tujuh hari.

Skim itu berkuat kuasa selama empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, inisiatif tersebut adalah bagi memastikan pengguna mendapat bekalan pada harga berpatutan.

Menurutnya, barangan terbabit ialah bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal Australia, kelapa biji, kelapa parut, santan, tomato dan ubi kentang China.

“Daripada jumlah itu, tiga barangan mencatatkan penurunan harga iaitu kelapa parut, bawang merah kecil India dan kacang dal Australia, manakala lima lagi mengekalkan harga sedia ada.

“Lima barangan yang mengekalkan harga ialah tomato, cili merah, kelapa biji, bawang merah kecil India (Ros) dan bawang merah besar.

“Daging kambing biri-biri import pula menjadi satu-satunya barangan yang mencatatkan peningkatan harga di peringkat borong dan runcit di seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas Program Walkabout sempena Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2026 di Pasaraya Nutribest Fresh Mart Tabuan Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, penentuan senarai barangan, harga maksimum dan tempoh pelaksanaan skim mengambil kira permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca serta kadar upah.

Tegasnya, KPDN turut mendapatkan pandangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan serta pemain industri bagi memastikan pelaksanaan skim bersesuaian dengan keadaan semasa.

Sehubungan itu, kerjasama dengan KPKM juga diteruskan bagi memastikan bekalan barangan terkawal mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan.

“Pelaksanaan skim itu dikuatkuasakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, manakala harga maksimum di peringkat borong dan runcit boleh disemak menerusi laman sesawang rasmi KPDN.

“Peniaga turut digalakkan menjual barangan pada harga lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya memperoleh bekalan pada kos yang lebih rendah.

“Bagi memantau pematuhan, pegawai penguat kuasa KPDN Sarawak akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah, selain melaksanakan pendekatan penguatkuasaan melalui pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga,” jelasnya.

Sehubungan itu, peniaga yang menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.

Tegasnya, kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal pula boleh menyebabkan individu didenda sehingga RM10,000, manakala syarikat sehingga RM20,000.

Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Deepavali bagi membantu meringankan beban kos sara hidup. Orang ramai boleh menyemak jadual program menerusi portal rasmi PJRM atau aplikasi Info Jualan RAHMAH MADANI.

Pengguna yang ingin membuat aduan berkaitan pelaksanaan skim boleh menghubungi WhatsApp 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau menggunakan aplikasi Ez ADU KPDN.

Hadir sama, Timbalan Premier, Datuk Dr. Sim Kui Hian.

RAKAM KENANGAN…Dr. Sim dan Matthew merakam kenangan bersama-sama yang lain selepas program tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU