ARTIKEL

Willie

Willie Mongin Seru Pengundi Tolak Provokasi, Berpolitik Secara Matang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jangan biarkan perbezaan politik merosakkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan, apatah lagi mengganggu-gugat keharmonian masyarakat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, rakyat perlu mengutamakan perpaduan dan kematangan dalam berpolitik meskipun mempunyai fahaman serta sokongan politik yang berbeza.

“Walaupun berbeza fahaman dan sokongan politik, kita tidak seharusnya membiarkan perbezaan itu memecahbelahkan keluarga, persahabatan serta keharmonian masyarakat.

“Nilailah setiap calon berdasarkan prestasi, integriti, pengalaman, khidmat kepada rakyat dan keupayaan membawa pembangunan, bukannya semata-mata berpandukan janji atau sentimen politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berhubung tarikh penting bagi PRU Sarawak Ke-13.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, manakala pengundian awal berlangsung pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini.

Willie yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut mengingatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu, provokasi dan serangan peribadi sepanjang tempoh berkempen.

Beliau berkata, penggunaan media sosial secara bertanggungjawab amat penting bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak memerlukan kepimpinan yang stabil, berpandangan jauh dan berpengalaman serta memahami keperluan rakyat, khususnya dalam memastikan pembangunan seimbang antara kawasan bandar dengan luar bandar.

Menurutnya, apa-apa juga keputusan pilihan raya kelak perlu dihormati tanpa mengira kecenderungan politik kerana rakyat tetap mempunyai tanggungjawab bersama untuk meneruskan pembangunan negeri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU