ARTIKEL

Ketibaan Pelancong China ke Sarawak Meningkat 64.2 Peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kehadiran pelancong dari China ke Sarawak meningkat sebanyak 64.2 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2026, sekali gus mendorong Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) terus memperkukuh usaha promosi menerusi kerjasama dengan Royal Brunei Airlines (RB).

Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, Sarawak merekodkan seramai 82,334 pelawat dari China berbanding 50,131 orang bagi tempoh sama pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 32,203 pelawat.

Para peserta dan wakil industri berkumpul semasa Sesi Rangkaian Perniagaan Sarawak 2026 yang diadakan di Tianjin pada 29 Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif STB, Dr Sharzede Datu Salleh Askor berkata, pertumbuhan itu menunjukkan potensi pasaran China yang perlu terus diperkukuh menerusi hubungan lebih erat dengan pemain industri pelancongan.

Menurutnya, China kekal sebagai pasaran penting bagi Sarawak, justeru kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan dan rakan industri perlu diteruskan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan berkenaan.

“Kerjasama dengan Royal Brunei Airlines membolehkan kami menggabungkan promosi destinasi dengan jaringan perhubungan udara.

“Melalui pelibatan ini, kami berharap dapat meningkatkan lagi keterlihatan Sarawak di China, selain membuka lebih banyak peluang kepada rakan pelancongan tempatan untuk menjalin hubungan dengan pasaran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media STB hari ini.

Tambah beliau, selain pasaran China, rantau Asia Utara turut merekodkan perkembangan positif dengan jumlah ketibaan pelawat sebanyak 108,816 orang bagi tempoh Januari hingga September 2026, meningkat 40.3 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Usaha menerima kemasukan pelancong itu diteruskan menerusi penganjuran Sarawak Business Networking Sessions 2026 di Beijing dan Tianjin pada 27 dan 29 Oktober lalu, hasil kerjasama STB dengan RB.

Program dua bandar itu turut menjadi aktiviti perdagangan pelancongan bersama pertama antara STB dengan RB di China selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) sempena ITB China pada Mei 2026.

Sesi berkenaan menghimpunkan rakan industri pelancongan Sarawak bersama wakil perdagangan pelancongan dari China bagi memperkenalkan produk dan tarikan pelancongan negeri, mengukuhkan jaringan industri serta meneroka peluang kerjasama perniagaan pada masa hadapan.

Program itu turut menampilkan pembentangan destinasi pelancongan dan perkhidmatan penerbangan oleh STB serta RB, diikuti sesi jaringan perniagaan antara syarikat pelancongan Sarawak dengan rakan industri dari China.

STB mengetengahkan kepelbagaian pengalaman pelancongan Sarawak merangkumi budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan (CANFF), sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai Pintu Masuk ke Borneo.

Sementara itu, RB memperkenalkan rangkaian perhubungan penerbangannya menerusi Bandar Seri Begawan bagi mengetengahkan peluang akses perjalanan antara China dengan Sarawak.

Tiga rakan pelancongan Sarawak turut menyertai sesi berkenaan bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing, selain membina hubungan industri serta meneroka potensi kerjasama perniagaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU