ARTIKEL

Datuk Dr Lee Kuok Tiung

PRU Sarawak Ke-13: Subsidi tambang wajar dipertimbang bantu pengundi di luar Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penetapan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 berpotensi menimbulkan dilema kepada pengundi luar Sarawak yang perlu memilih antara pulang lebih awal untuk mengundi atau menunggu cuti sempena sambutan Krismas dan tahun baharu.

Penganalisis politik, Datuk Dr Lee Kuok Tiung berkata, jarak hampir dua minggu antara hari pengundian dengan sambutan Krismas pada 25 Disember mungkin menyebabkan sebahagian pengundi yang bekerja atau menetap di luar negeri keberatan untuk pulang lebih awal.

Menurutnya, kebanyakan mereka lazimnya merancang kepulangan menjelang musim perayaan bagi meluangkan masa bersama-sama keluarga sebelum kembali bekerja selepas sambutan tahun baharu.

“Bagaimanapun, saya percaya pemilihan tarikh tersebut mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk cuti persekolahan, manakala 19 Disember mungkin dianggap terlalu hampir dengan sambutan Krismas,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penetapan tarikh penting PRU DUN Sarawak ke-13 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan hari penamaan calon pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember.

Mengulas kemungkinan tarikh pengundian memberi kelebihan kepada parti tertentu, Dr Lee berkata, keluasan geografi Sarawak menjadikan usaha menggerakkan pengundi sebagai cabaran besar, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Namun, beliau berpandangan parti politik yang mempunyai hubungan baik dengan pemimpin masyarakat setempat, termasuk tuai rumah dan penghulu, berpotensi memperoleh kelebihan dalam menggerakkan pengundi di rumah panjang serta kampung.

Menyentuh kos perjalanan, Dr Lee berkata, peningkatan tambang penerbangan menjelang musim perayaan, ditambah dengan tekanan kos sara hidup, turut menjadi pertimbangan pengundi luar Sarawak sebelum membuat keputusan untuk pulang mengundi.

“Bantuan subsidi perjalanan yang disediakan Kerajaan Sarawak sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat manakala kemudahan Lebuh Raya Pan Borneo menawarkan pilihan perjalanan darat yang lebih selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Lee berpandangan kekangan perjalanan dan peningkatan kos sara hidup tidak semestinya menyebabkan kadar keluar mengundi pada pilihan raya kali ini rendah.

Menurutnya, pola pengundian perlu dilihat secara menyeluruh, termasuk mengambil kira komposisi pengundi muda di bawah pelaksanaan Undi18 serta perbezaan kawasan pendaftaran antara mereka dengan ibu bapa masing-masing.

“Sebahagian pengundi muda merupakan pengundi bandar, sedangkan ibu bapa mereka masih berdaftar sebagai pengundi di kawasan pinggir bandar atau luar bandar.

“Dengan perubahan yang dibawa oleh pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS), saya menjangkakan kadar keluar mengundi pada pilihan raya kali ini tidak akan rendah,” katanya.

Mengulas kemungkinan pengundi luar Sarawak kurang diwakili dalam keputusan pilihan raya, beliau berpendapat keadaan itu tidak semestinya berlaku kerana penyertaan mereka bergantung kepada kemampuan dan kesediaan untuk pulang mengundi.

Malah, beliau percaya sebahagian diaspora Sarawak yang berkemampuan serta melihat hasil pentadbiran GPS akan tetap pulang bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Sehubungan itu, Dr Lee mencadangkan supaya pemberian subsidi tambang penerbangan atau penetapan kadar tambang maksimum dipertimbangkan bagi membantu pengundi luar Sarawak pulang mengundi.

BERITA LAIN

RM174.94 juta diperlukan kendali PRU Sarawak ke-13

KUCHING: Pengendalian Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM174.94 juta membabitkan 40,505 petugas serta penyediaan 2,027 pusat mengundi di seluruh negeri.

BERITA TERBARU

Najib bayar denda RM50 juta

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd