KUCHING: Pengendalian Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM174.94 juta membabitkan 40,505 petugas serta penyediaan 2,027 pusat mengundi di seluruh negeri.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keseluruhan pusat mengundi berkenaan merangkumi 4,588 saluran bagi melaksanakan proses pengundian awal dan pengundian biasa.
Menurutnya, sebanyak 82 pusat mengundi awal yang menyediakan 106 saluran akan digunakan, manakala 1,945 pusat mengundi biasa melibatkan 4,482 saluran.
“Dalam melaksanakan PRU DUN Sarawak ke-13 ini, seramai 40,505 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses tersebut,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Writ dan Watikah Pelantikan Pegawai Pengurus PRU Sarawak Ke-13, di sini, hari ini.
Ramlan berkata, bagi memastikan kelancaran urusan pilihan raya, SPR melantik 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang akan dibantu 305 Penolong Pegawai Pengurus.
Katanya, sebanyak 97 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan bagi mengendalikan urusan penamaan calon serta penjumlahan keputusan rasmi pilihan raya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 82 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) akan ditubuhkan bagi memantau aktiviti sepanjang tempoh rasmi berkempen.
“Pasukan berkenaan turut dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil calon yang bertanding,” jelasnya.
Sementara itu, Ramlan memaklumkan bahawa daftar pemilih yang akan digunakan bagi pilihan raya berkenaan ialah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan September 2026 yang dikemas kini sehingga 25 Oktober lalu.
Mengenai pengundian pos, beliau berkata, permohonan bagi semua kategori dalam dan luar negara dibuka sejak 26 Oktober lalu dengan keseluruhan proses permohonan dilaksanakan secara dalam talian.
Katanya, permohonan bagi Kategori 1A yang melibatkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera serta petugas media akan ditutup pada 25 November ini.
“Bagi Kategori 1B yang melibatkan warganegara Malaysia yang menetap di luar negara serta Kategori 1C membabitkan agensi dan organisasi, tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 20 November ini.
“Semua permohonan undi pos bagi ketiga-tiga kategori berkenaan perlu dikemukakan secara dalam talian mengikut tarikh tutup yang ditetapkan.
“Maklumat lanjut serta panduan permohonan boleh diperoleh menerusi portal rasmi SPR,” katanya lagi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan kenamaan lain.





