PETALING JAYA: Sibu merekodkan jumlah kes penipuan dalam talian tertinggi di Sarawak dengan 2,314 kes, diikuti Kuching dan Miri bagi tempoh 2022 hingga Ogos tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kuching mencatatkan 2,267 kes, manakala Miri merekodkan 1,916 kes daripada keseluruhan 12,452 kes penipuan dalam talian yang dilaporkan di seluruh Sarawak sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, jenayah itu mengakibatkan kerugian keseluruhan RM384.92 juta, dengan jumlah kerugian tertinggi dicatatkan pada tahun lalu, iaitu RM116.36 juta.
“Statistik tahunan menunjukkan sebanyak 1,865 kes dilaporkan pada 2022, meningkat kepada 2,318 kes pada 2023 sebelum mencatatkan sedikit penurunan kepada 2,271 kes pada 2024.
“Bagaimanapun, jumlah kes kembali meningkat kepada 3,338 pada 2025, manakala 2,660 kes lagi direkodkan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini,” katanya lagi.
Perkara itu dimaklumkan Saifuddin menerusi jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, yang meminta perincian statistik penipuan dalam talian di Sarawak, termasuk jenis penipuan, profil mangsa serta pecahan kes mengikut daerah dalam Persidangan Dewan Rakyat semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, penipuan e-dagang mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 4,062 kes diikuti penipuan telekomunikasi (4,021 kes) dan penipuan pinjaman tidak wujud (1,795 kes).
Bagaimanapun katanya, dari segi nilai kerugian, penipuan pelaburan tidak wujud mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM165.09 juta, diikuti penipuan telekomunikasi (RM125.56 juta) dan penipuan e-dagang (RM41.03 juta).
“Dari segi profil mangsa, golongan berusia antara 21 hingga 30 tahun mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 3,370 kes, diikuti mereka yang berusia antara 31 hingga 40 tahun dengan 3,262 kes.
“Pecahan mengikut jantina pula menunjukkan sebanyak 6,398 kes melibatkan lelaki, manakala 6,054 kes membabitkan wanita.
“Sementara itu, pekerja sektor swasta merupakan kumpulan pekerjaan yang mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 4,690 kes, diikuti individu tidak bekerja (2,558 kes) dan pelajar (1,072 kes),” jelasnya.





