KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memperluas penawaran Program Profesional dan Eksekutif menerusi kerjasama strategik dengan 17 rakan industri, berbanding hanya empat ketika program itu diperkenalkan pada 2020.
Naib Canselor UNIMAS Datuk Dr Ahmad Hata Rasit berkata perkembangan itu mencerminkan peningkatan keyakinan industri dengan keupayaan universiti dalam menyediakan program pendidikan yang relevan, mengikut keperluan semasa serta membantu meningkatkan kompetensi tenaga kerja.
“Program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat, khususnya bagi golongan profesional dan pekerja yang mahu meningkatkan kemahiran tanpa mengabaikan komitmen pekerjaan serta keluarga.

“Perkembangan ini mencerminkan keyakinan rakan strategik dengan keupayaan UNIMAS dalam menyediakan program yang relevan dengan keperluan semasa serta memberi peluang kepada individu daripada pelbagai latar belakang untuk meningkatkan kompetensi profesional masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Program Profesional dan Eksekutif Ke-5 UNIMAS di Arena Gemilang, DeTAR Putra, hari ini.
Majlis penyampaian sijil itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.

Pada majlis itu, beliau turut berkongsi kejayaan 18 peserta Program Profesional Penggerak Transformasi Start-up (Tahap 1) menerusi UNIPRENEUR 5.0 tajaan Bank Rakyat, yang bertujuan memperkukuh kemahiran keusahawanan, kebolehpasaran serta keupayaan membangunkan perniagaan dan menjana pendapatan.
Selain itu, kohort pertama Program Profesional Kecemerlangan Kepimpinan (Tahap 4) berjaya melibatkan 16 kakitangan pentadbiran UNIMAS daripada pelbagai pusat tanggungjawab bagi meningkatkan kemahiran kepimpinan dan keupayaan mengurus organisasi.
Turut mencatat pencapaian ialah kohort pertama Program Profesional Pertanian Moden (Tahap 2) kendalian Agroz Group Sdn Bhd, yang menyaksikan 10 kakitangan syarikat itu berjaya menamatkan pengajian, sekali gus memperkukuh kompetensi tenaga kerja dalam sektor pertanian.
Dalam perkembangan berkaitan, UNIMAS Business School (UBS) menerima pengiktirafan Industry-Ready Education Excellence Award menerusi Malaysia Education & TVET Awards (META) 2026 untuk tahun keempat berturut-turut, sebagai pengiktirafan terhadap usaha menyediakan pendidikan yang memenuhi keperluan industri.
Ahmad Hata berkata, UNIMAS kini melangkah ke fasa baharu menerusi Pelan Strategik UNIMAS 2026–2030 yang berpaksikan empat teras utama gagasan IDEA, iaitu Inspiring People, Driving Innovation, Extending Global Impact dan Advancing Sustainability.
Menurutnya, UBS sebagai anak syarikat milik penuh universiti berperanan menterjemahkan aspirasi berkenaan melalui penawaran program profesional, pascasiswazah, latihan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat, selain meneroka kaedah penyampaian fleksibel termasuk pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL), mikrokredensial serta Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).
Tambah beliau, usaha memperluas jaringan industri dan institusi pendidikan tempatan serta antarabangsa turut menjadi keutamaan bagi meningkatkan mobiliti pelajar dan kakitangan, memperluas program pendidikan transnasional serta memperkukuh reputasi UNIMAS di peringkat global.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan graduan supaya tidak menganggap konvokesyen sebagai noktah perjalanan akademik, sebaliknya menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk meningkatkan nilai profesional, menyumbang kepada organisasi serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik industri, tenaga pengajar, warga UNIMAS dan UBS serta keluarga graduan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program berkenaan.






