ARTIKEL

Park Yong-ho pada sidang media selepas perlawanan menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.

Gangwon akui gagal tangani corak permainan agresif The Cats

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gangwon FC mengakui gagal membuat persiapan secukupnya untuk menangani corak permainan agresif Kuching City FC, sekali gus menjadi antara punca kelab Korea Selatan itu tewas 0-2 dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.

Penolong Jurulatih Gangwon FC, Park Yong-ho berkata, pasukannya tidak mampu memberikan tindak balas berkesan dengan tekanan tinggi skuad The Cats sehingga dihukum menerusi dua jaringan Safawi Rasid dalam tempoh 20 minit pertama.

“Secara keseluruhan, persembahan kami tidak cukup baik.

Kekuatan Gangwon biasanya terletak pada permainan berintensiti tinggi, tekanan agresif dan keupayaan merampas kembali penguasaan bola di bahagian tengah.

“Namun, kami gagal menangani tekanan tinggi Kuching City dan persiapan kami untuk menghadapinya juga tidak mencukupi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Menurut Park, dua jaringan awal Kuching City mengejutkan barisan pemainnya yang gagal bangkit meskipun cuba memperbaiki corak permainan sepanjang baki perlawanan.

Mengulas perubahan kesebelasan utama berbanding pertemuan pertama, Park menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan tahap kecergasan pemain selepas Gangwon menghadapi Ulsan dalam saingan Liga Korea, minggu lalu.

Beliau berkata, keletihan akibat perjalanan ke Kuching serta masalah kecergasan beberapa pemain turut menyukarkan pasukan mengekalkan corak permainan yang menjadi kekuatan mereka.

“Kami turut berdepan keletihan dan beberapa pemain mengalami masalah kecergasan, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan keputusan positif,” katanya.

Dalam pada itu, Park menolak tanggapan Gangwon memandang rendah kemampuan Kuching City, sebaliknya menegaskan pasukannya sudah mengenal pasti kekuatan beberapa tonggak The Cats sejak pertemuan pertama di Korea Selatan.

“Kami sudah mengetahui Kuching City sebuah pasukan yang bagus.

Kami juga mengenal pasti pemain nombor 10 yang bijak mengatur permainan dan mengagihkan bola ke hadapan, manakala pemain nombor 11 mempunyai kekuatan fizikal serta kedudukan permainan yang baik.

“Kami menjangkakan mereka akan memberikan tekanan tinggi kerana beraksi di laman sendiri, tetapi gagal membuat persediaan secukupnya.

Kami menghormati persembahan Kuching City,” tegasnya.

Park turut memohon maaf kepada penyokong Gangwon yang hadir dari Korea Selatan serta mereka yang mengikuti perlawanan menerusi siaran televisyen kerana gagal menghadiahkan keputusan diharapkan.

“Saya benar-benar memohon maaf kepada penyokong yang datang dari Korea dan mereka yang menonton dari tanah air.

Kami akan meneliti kelemahan dalam perlawanan ini dan mencari penyelesaian untuk aksi seterusnya,” ujarnya.

Kekalahan itu menyaksikan Gangwon gagal mengulangi kemenangan 1-0 ke atas Kuching City pada pertemuan pertama di Stadium Gangneung, 29 Oktober lalu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Najib bayar denda RM50 juta

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd