ARTIKEL

Bakal calon segera semak borang, bayar deposit lebih awal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bakal calon Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 disaran melengkapkan semakan borang penamaan calon dan membuat pembayaran deposit lebih awal bagi mengelakkan kesulitan pada hari penamaan calon 28 November kelak.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, langkah itu bertujuan memudahkan urusan penamaan calon, sekali gus membolehkan proses berkenaan diselesaikan dengan lebih teratur pada hari yang ditetapkan.

Menurutnya, bakal calon yang berhasrat bertanding disaran melengkapkan borang penamaan calon dan mendapatkan semakan awal daripada Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.

Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menunjukkan kawasan pengundian beliau sambil disaksikan Ramlan dan kenamaan yang lain. | Foto: Mohd Alif Noni

“Pembayaran deposit juga digalakkan dibuat lebih awal sebagai sebahagian daripada persediaan bagi melancarkan keseluruhan proses penamaan calon.

“Justeru, bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU DUN Sarawak yang ke-13 disarankan mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Writ dan Watikah Pelantikan Pegawai Pengurus PRU Sarawak Ke-13, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ramlan mengingatkan semakan awal tidak menggantikan kewajipan mengemukakan kertas penamaan calon secara rasmi pada hari penamaan calon.

Jelasnya, kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak hendaklah diserahkan oleh calon, pencadang atau penyokongnya di Pusat Penamaan Calon (PPC) yang ditetapkan SPR.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, SPR turut mempelawa agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mana-mana badan yang berminat untuk memohon sebagai pemerhati pilihan raya bagi PRU DUN Sarawak ke-13.

Menurutnya, pelantikan pemerhati itu bertujuan membolehkan pihak berkenaan mengikuti dan meneliti perjalanan proses pilihan raya, bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Pemerhati yang dilantik dibenarkan menjalankan pemerhatian di PPC, pusat mengundi, tempat pengiraan undi serta Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU).

“Bagaimanapun semua pemerhati perlu mematuhi syarat pelantikan yang ditetapkan SPR sepanjang menjalankan tugas pemerhatian masing-masing,” ujarnya.

Ramlan berkata, maklumat lanjut serta borang permohonan untuk menjadi pemerhati pilihan raya boleh diperoleh menerusi portal rasmi SPR mulai 6 November ini.

Beliau memaklumkan tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 13 November 2026 sekali gus memberikan tempoh kepada agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan yang berminat untuk mengemukakan permohonan masing-masing.

BERITA LAIN

RM174.94 juta diperlukan kendali PRU Sarawak ke-13

KUCHING: Pengendalian Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM174.94 juta membabitkan 40,505 petugas serta penyediaan 2,027 pusat mengundi di seluruh negeri.

BERITA TERBARU

Sarawak ngundi 12 Disember tu

KUCHING: Pengawa Bepilih Besai (PRU) Sarawak Ke-13 udah ditetapka kena 12 Disember tu, lalu hari ngantung nama chalun ditetap kena 28 November. Chairman Komiti Besai