LIMBANG: Perbuatan seorang lelaki berusia 19 tahun melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak membawa padah apabila dia dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Limbang, semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh didapati bersalah.
Menurutnya, mahkamah turut memerintahkan lelaki tersebut menjalani pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan, selain dikenakan pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman.
“Mahkamah juga menetapkan bahawa ahli keluarga tertuduh dilarang mendekati atau mengganggu mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas kronologi kes, Parum berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian jenayah seksual terhadap kanak-kanak itu pada 7 Oktober lalu.
Susulan laporan berkenaan, katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.
“Hasil siasatan membawa kepada penahanan lelaki berkenaan pada 12 Oktober lalu kerana disyaki terbabit dalam kes tersebut,” katanya.






