ARTIKEL

Ramlan bercakap pada sidang media Majlis Penyerahan Writ dan Watikah Pelantikan Pegawai Pengurus PRU Sarawak Ke-13, di sini, hari ini.

SPR guna sistem OCR-VA pada PRU Sarawak Ke-13

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sistem Pengecaman Aksara Optik–Kehadiran Pengundi (OCR-VA) akan diperluas ke semua 82 saluran mengundi di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sistem itu digunakan bagi merekod dan menandakan kehadiran pengundi secara automatik menerusi pengimbasan maklumat pada dokumen pengenalan diri.

“Pada PRU Sarawak Ke-13 ini, SPR memutuskan untuk memperluas pelaksanaan projek rintis Sistem OCR-VA di semua saluran di setiap pusat mengundi melibatkan 82 DUN.

“Penggunaan OCR-VA dijangka mempercepat proses semakan dan rekod kehadiran pengundi, selain meningkatkan kecekapan petugas pada hari mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Writ dan Watikah Pelantikan Pegawai Pengurus PRU Sarawak Ke-13, di sini, hari ini.

Menurutnya, penggunaan sistem berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan proses pilihan raya dan tidak mengubah tatacara pengundian sedia ada.

Pengundi hanya perlu hadir ke pusat mengundi seperti biasa dan menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada petugas untuk semakan sebelum meneruskan proses pengundian mengikut prosedur ditetapkan.

SPR menyediakan sebanyak 2,027 pusat mengundi bagi PRU Sarawak kali ini, terdiri daripada 1,945 pusat mengundi biasa dan 82 pusat mengundi awal, melibatkan keseluruhan 4,588 saluran pengundian.

Penggunaan OCR-VA di Sarawak merupakan kesinambungan usaha SPR memperluas teknologi berkenaan selepas projek rintis sistem itu diperkenalkan sebelum ini dan penggunaannya diperluas dalam pilihan raya lain.

Sistem berkenaan bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada penandaan kehadiran secara manual serta mempercepat proses semakan pengundi.

Dalam pada itu, SPR akan meneruskan siaran langsung proses pilihan raya di pusat atau saluran mengundi terpilih menerusi Facebook rasmi SPR.

Siaran itu termasuk keputusan tidak rasmi selepas tamat waktu mengundi, sebagaimana dilaksanakan dalam pilihan raya sebelum ini.

SPR turut akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ menerusi media elektronik, media sosial, hebahan siar raya serta pemasangan kain rentang di lokasi strategik bagi menggalakkan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Seramai 2,058,781 pemilih layak mengundi pada PRU Sarawak Ke-13, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember.

BERITA LAIN

PRU Sarawak Ke-13: 2,058,781 layak mengundi

KUCHING: Seramai 2,058,781 pemilih layak mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, meningkat lebih 806,000 orang berbanding pilihan raya negeri pada 2021. Pengerusi Suruhanjaya

BERITA TERBARU