KUCHING: Seramai 2,058,781 pemilih layak mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, meningkat lebih 806,000 orang berbanding pilihan raya negeri pada 2021.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan ialah daftar terkini yang dikemas kini hingga 25 Oktober lalu.
“PRU Sarawak Ke-13 mempunyai seramai 2,058,781 orang pemilih. Daripada jumlah itu, 2,034,373 merupakan pengundi biasa.
“Manakala, seramai 13,575 terdiri daripada anggota tentera serta pasangan dan 10,833 lagi anggota polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Writ dan Watikah Pelantikan Pegawai Pengurus PRU Sarawak Ke-13, di sini, hari ini.
Menurutnya, daftar pemilih berkenaan dijadual mula dijual pada 23 November ini dan pengundi boleh membuat semakan bagi mengetahui pusat mengundi, saluran mengundi serta nombor bilangan masing-masing melalui portal MySPR Semak atau aplikasi MySPR Semak mulai tarikh yang sama.
Semakan juga boleh dibuat dengan menghubungi talian Hotline SPR di 03-8892 7218 yang beroperasi setiap hari dari 9 pagi hingga 8 malam.
Jumlah pemilih kali ini menunjukkan peningkatan ketara kepada sebanyak 806,767 orang atau kira-kira 64.4 peratus dalam tempoh lima tahun.
Sementara, PRU Sarawak Ke-12 pada 2021 mempunyai seramai 1,252,014 pemilih berdaftar, terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera serta pasangan, 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 pengundi tidak hadir di luar negara.
Peningkatan besar jumlah pemilih berlaku selepas umur kelayakan mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik mula berkuat kuasa pada 15 Disember 2021.
SPR turut merekodkan daftar pemilih tambahan pada September lalu mempunyai seramai 44,987 warganegara berusia 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, selain 21,720 pemilih bertukar bahagian pilihan raya dan 4,805 bertukar kategori atau status.
PRU Sarawak Ke-13 akan mempertandingkan 82 kerusi DUN dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember.
Dengan jumlah pemilih melepasi 2 juta buat pertama kali dalam PRU Sarawak, komposisi pengundi kali ini turut mencerminkan perubahan demografi pilihan raya susulan kemasukan kumpulan pengundi muda dan pendaftaran secara automatik.





