ARTIKEL

MINTRED perkukuh infrastruktur keusahawanan, sedia peluang perniagaan di Limbang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LIMBANG: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) terus memperkukuh ekosistem keusahawanan di negeri ini menerusi pembangunan Anjung Usahawan Limbang di Penapak, yang menyediakan kemudahan perniagaan bersepadu bagi membantu usahawan tempatan memulakan serta mengembangkan operasi mereka.

Projek yang bermula pada 15 November 2024 dan siap sepenuhnya pada 28 Julai lalu itu merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak dalam menyediakan infrastruktur perniagaan lebih kondusif, khususnya bagi memperluas penyertaan komuniti setempat dalam aktiviti ekonomi.

Kemudahan berkenaan dilengkapi tiga unit kawasan pemprosesan, sebuah kafe siber, dua unit kedai runcit dan tujuh unit gerai makanan bagi memenuhi pelbagai keperluan aktiviti perniagaan.

Delegasi MINTRED meninjau Anjung Usahawan Limbang di Penapak.

MINTRED dalam kenyataan memaklumkan, penyediaan kemudahan itu bukan sahaja bertujuan membuka ruang kepada usahawan untuk memulakan perniagaan, malah membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperluas akses kepada pasaran.

Menurut kenyataan itu, Anjung Usahawan Limbang juga berpotensi menjadi pusat kegiatan ekonomi komuniti yang mampu merancakkan aktiviti keusahawanan di kawasan Penapak dan sekitarnya.

Sehubungan itu, MINTRED berharap semua kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya menerusi penglibatan aktif usahawan tempatan, kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan serta pengurusan yang cekap dan berkesan.

Delegasi MINTRED merakam gambar semasa melawat Anjung Usahawan Limbang di Penapak.

Perkara itu turut diberi perhatian menerusi lawatan MINTRED ke Anjung Usahawan berkenaan pada 6 November bagi meninjau kemudahan serta perkembangan infrastruktur yang dibangunkan di bawah inisiatif kementerian.

Pembangunan Anjung Usahawan Limbang mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain memperluas peluang ekonomi ke kawasan luar bandar.

Usaha itu juga selari dengan matlamat memastikan pembangunan ekonomi negeri dilaksanakan secara lebih inklusif, dengan manfaat kemudahan dan peluang keusahawanan dapat dinikmati masyarakat di seluruh Sarawak.

BERITA LAIN

RM174.94 juta diperlukan kendali PRU Sarawak ke-13

KUCHING: Pengendalian Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM174.94 juta membabitkan 40,505 petugas serta penyediaan 2,027 pusat mengundi di seluruh negeri.

BERITA TERBARU

PRU Sarawak Ke-13: 2,058,781 layak mengundi

KUCHING: Seramai 2,058,781 pemilih layak mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, meningkat lebih 806,000 orang berbanding pilihan raya negeri pada 2021. Pengerusi Suruhanjaya