ARTIKEL

Jaya Ramba

PRU Sarawak: Pengundi Perlu Nilai Kualiti Calon, Bukan Populariti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tarikh keramat 12 Disember penting buat pengundi Sarawak menilai kualiti, integriti dan rekod perkhidmatan calon sebelum membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, bukannya sekadar berdasarkan populariti, hubungan kekeluargaan atau lambang parti.

Penganalisis politik Jaya Ramba berkata pilihan raya kali ini perlu menjadi medan menilai kemampuan individu yang bakal diberi mandat membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN), bukan hanya persaingan antara gabungan politik.

“Kekuatan sesebuah parti tidak semestinya menjamin mutu kepimpinan di peringkat kawasan kerana pengundi juga perlu mengetahui sumbangan sebenar calon serta kemampuan mereka menangani masalah masyarakat.

“Pengundi hari ini semakin kritikal. Mereka bukan hanya melihat lambang parti tetapi turut menilai wajah calon yang akan mewakili kawasan masing-masing,” katanya ketika mengulas pengumuman tarikh penting PRU Sarawak Ke-13 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.

Hari ini, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata 12 Disember ini ditetapkan sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November ini, sementara pengundian awal akan berlangsung pada 8 Disember.

Dalam pada itu, Jaya memberitahu, tempoh kempen 14 hari yang ditetapkan SPR perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua calon untuk menjelaskan manifesto, rekod perkhidmatan dan perancangan konkrit, bukannya sekadar memenuhi ruang kempen dengan poster, slogan serta ceramah.

Katanya, penggunaan media sosial juga membuka peluang lebih luas kepada calon untuk menyampaikan gagasan kepada pengundi, namun perkara lebih penting ialah kemampuan membuktikan sumbangan dan komitmen mereka kepada masyarakat.

Tegas Jaya lagi, tempoh antara penamaan calon pada 28 November dengan hari pengundian pada 12 Disember juga berpotensi memberi kelebihan kepada parti yang mempunyai jentera lebih tersusun, khususnya dalam menyampaikan maklumat kepada pengundi di kawasan bandar dan pedalaman.

Namun, beliau menegaskan kekuatan jentera sahaja tidak mencukupi untuk menjamin penerimaan rakyat kerana calon yang lemah dari segi rekod perkhidmatan dan kemampuan tidak semestinya dapat membina keyakinan hanya melalui sokongan organisasi parti.

Sehubungan itu, beliau berpandangan Sarawak memerlukan pembaharuan kepimpinan dengan memberi ruang kepada generasi lebih muda yang mempunyai kelayakan akademik, pengalaman profesional serta kefahaman teknologi, ekonomi baharu dan aspirasi masyarakat.

Beliau turut mengingatkan bahawa keputusan PRU Sarawak Ke-13 bukan hanya bergantung kepada populariti Premier atau kekuatan parti, sebaliknya dipengaruhi gabungan prestasi kerajaan, kualiti calon, kekuatan jentera serta perubahan sentimen pengundi.

Tegasnya, semua pihak perlu membuktikan kemampuan masing-masing melalui rekod dan tawaran yang boleh dinilai rakyat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU