11 buah sekolah di Miri dilaporkan terjejas akibat banjir

MIRI: Sebanyak 11 buah sekolah rendah di Bahagian Miri dilaporkan terjejas akibat bencana banjir yang melanda.

Seketariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejar Ismail Mahedin berkata, namun, sekolah kini tidak beroperasi kerana cuti persekolahan bagi sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, setakat jam 10 pagi, sebanyak 22 kawasan di bahagian Miri meliputi 13 kawasan di daerah Beluru dan sembilan di daerah Marudi terjejas akibat banjir.

Dalam pada itu, tambah beliau, satu fasiliti kesihatan di Bahagian Miri iaitu Klinik Kesihatan Long Teru turut dilaporkan terjejas.

“Paras Air di Marudi, Baram Basin Miri berada pada ketinggian 7.01 meter dan trend air adalah mendatar,” katanya dalam satu kenyataannya, tadi.

Ujar Ismail, buat masa ini, tiada pusat pemindahan dibuka di kawasan yang terjejas banjir.

Sementara itu, menurut ramalan kaji cuaca dari Jabatan Meteorologi Malaysia, Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu diramalkan ribut petir di satu dua tempat di sebelah petang.

Suara Sarawak