11 pekerja Taman Negara Mulu jadi anggota MOSCAR

MIRI: Seramai 11 individu terdiri daripada pekerja Taman Negara Mulu dilantik secara rasmi sebagai anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOSCAR) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak, hari ini.

Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman berkata, ia sebagai langkah penyelesaian segera dalam menghadapi sebarang insiden di kawasan terbabit susulan kejadian lemas yang menimpa pelancong warga Belanda serta kebakaran hutan di Bukit Batu Bungan, tahun lalu.

Menurutnya, idea penubuhan tersebut tercetus setelah pihaknya melaksanakan Latihan Penyelamatan di mana ia melibatkan Pasukan STORM (Special Tactical Operaction Rescue Management) di Taman Negara Mulu selama seminggu sejak tahun 2017.

Majlis menyaksikan Khirudin menyerahkan surat lantikan kepada kesemua anggota MOSCAR yang terdiri ketua pasukan, Hein Getsner, 38 tahun, disusuli anggotanya iaitu Kenneth Nilong, 38, Undi Mamat, 39, Harvey Faizer Joseph, 33, Kenneth Simon, 34, Wilvien Robin, 26, Jimmy Jarau, 32, Layang Barasap, 32, Zackius Beti, 51, Patrick Mani, 20, dan Mohammad Shaufik Abdullah, 37.

BERCAKAP… Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman berbual bersama salah seorang anggota MOSCAR dalam majlis penyerahan surat lantikan MOSCAR kepada 11 individu yang dilantik

Justeru, katanya, anggota pasukan ini akan diberi latihan yang berbagai bentuk modul sekurang-kurangnya 12 jam seminggu bagi meningkatkan kemahiran mereka secara berterusan.

Tambahnya, pihak jabatan turut memberikan latihan kemahiran selama 60 jam setiap bulan dalam tempoh enam bulan pertama sebelum diberi latihan lanjut selama 36 jam seminggu untuk tempoh enam bulan selanjutnya.

“Pasukan ini bertanggungjawab sebagai anggota responden pertama pemadaman sekiranya berlaku kebakaran di hutan selain bertindak dalam insiden mencari dan menyelamat di gunung dan gua.

“Selain itu, mereka akan diberi kemahiran untuk merawat awal mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan semasa mendaki gunung dan gua,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khirudin memberitahu bahawa pasukan tersebut merupakan anggota Bomba Bantuan yang dipanggil secara talian terus (On-call), berbeza dengan perlantikan anggota bomba balai yang bertugas di balai-balai Bomba menerusi konsep Sedia(standby) di Balai Bomba.

Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan penyampaian sebanyaj 30 unit alat pemadam api kepada Kampung Melinau, Kampung Batu Bungan dan Kampung Long Iman serta penyerahan sijil penghargaan kepada bapa mendiang Roviezal Robin, iaitu pemandu pelancong yang terkorban semasa kejadian lemas di Gua Rusa, tahun lalu.

Terdahulu, majlis turut dihadiri Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii, dan Ketua Bomba Zon 6 Sarawak, Law Poh Kiong.

Suara Sarawak