1,235 calitan Covid-19 di lima rumah panjang Beluru, bersabar tunggu keputusan

MIRI: Sejumlah 1,235 calitan diambil di lima buah rumah panjang di Beluru yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 11 Januari lalu.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata ia membabitkan penduduk di rumah Rumah Emah, Rumah Apol, Rumah Chabu, Rumah Anthony dan Rumah Justine.
Kim Shin yang juga Menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) berkata, kelmarin satu kes kematian melibatkan kes ke-2065 disahkan meninggal dunia pada 14 Januari 2021 di Hospital Miri.
“JPBB Miri mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga kes tersebut. Kes ke-2065 merupakan pesakit yang berisiko tinggi kerana mempunyai penyakit kritikal lain,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah Kim Shin, kebiasaannya, Covid-19 yang serius berlaku kepada golongan pesakit yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi seperti warga emas berusia 65 tahun ke atas, pesakit dengan penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit ginjal dan kanser, pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah, wanita hamil dan kanak-kanak.
Dalam perkembangan sama, JPBB Miri menasihati orang ramai supaya merujuk kepada senarai lokaliti rasmi yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dalam laporan setiap hari.
“Orang ramai digesa supaya tidak menyebar berita palsu yang diviralkan melalui media sosial yang tidak sah. Tindakan tegas boleh diambil, jika didapati menyebarkan berita palsu,” tegasnya.
Kim Shin meminta orang ramai yang keluar rumah perlu diingatkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Orang awam juga dinasihati agar elakkan melakukan 3S iaitu (Sesak, Sempit dan Sembang Dekat), amalkan 3W (Wash, Wear, Warn) dan membantu kepada usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” ujarnya.