KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak masih dalam penelitian menerusi kajian kemungkinan Pelan Induk Pembangunan Kawasan Sempadan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kajian pelan induk berkenaan dijangka siap hujung tahun ini.
Katanya, Kerajaan Sarawak akan meneliti hasil kajian itu sebelum menentukan projek pembangunan sempadan yang sesuai dilaksanakan secara berperingkat.
“Hasil itu dinilai berdasarkan keutamaan, keperluan dan kesediaan pelaksanaan serta tertakluk kepada peruntukan dan kelulusan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Opar, Billy Sujang, berhubung cadangan menaik taraf ICQS Biawak susulan pengumuman Premier Sarawak ketika penangguhan Regatta Batang Kayan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Jelas Abdul Karim, kajian itu dilaksanakan sebagai respons kepentingan strategik kawasan sempadan Sarawak yang semakin meningkat, termasuk susulan keputusan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Nusantara, Kalimantan Timur.
“Pelan induk itu bertujuan mentransformasikan kawasan sempadan Sarawak daripada kawasan pinggiran kepada pintu masuk strategik bagi perdagangan, pelaburan dan kesalinghubungan, selain memperkukuh keselamatan.
“Cadangan naik taraf ICQS Biawak turut dimasukkan dalam skop kajian, merangkumi penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur serta inisiatif pembangunan sosioekonomi di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata, projek sempadan Sarawak bagi pembinaan monumen di kawasan strategik sempadan negara yang melibatkan ICQS Biawak sudah diluluskan dan kini berada pada peringkat akhir reka bentuk.
“Surat Setuju Terima (SST) bagi kerja awalan projek itu dijangka dikeluarkan pada suku keempat 2026.
“Jabatan Kerja Raya Sarawak ialah agensi pelaksana projek bernilai RM3 juta itu, yang turut melibatkan Pos Kawalan Sempadan (PKS) Telok Melano, PKS Ba’kelalan, ICQS Tebedu dan ICQS Lubok Antu,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya projek pembinaan monumen itu berbeza daripada cadangan menaik taraf kemudahan ICQS Biawak yang masih dinilai melalui kajian pelan induk berkenaan.

