SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026 mencatat rekod baharu apabila menarik 115,150 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, jumlah itu mengatasi rekod SKS Bahagian Sibu yang mencatat 102,049 pengunjung.
Katanya, sambutan menggalakkan itu turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat, khususnya peserta yang mengambil peluang mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
Menurutnya, nilai jualan sepanjang program dianggarkan mencecah RM334,932.50, membuktikan SKS bukan sahaja menjadi platform penyampaian perkhidmatan awam, malah turut menjana limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Program ini turut membuka ruang kepada usahawan dan peniaga tempatan untuk memperluaskan pasaran, memperkenalkan produk serta membina jaringan perniagaan yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program SKS Bahagian Sarikei 2026 di Kompleks Sukan Sarikei, di sini, hari ini.
Mawan berkata, kejayaan SKS Sarikei tidak wajar diukur berdasarkan jumlah pengunjung dan nilai jualan semata-mata, sebaliknya turut mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan, agensi, sektor swasta dan masyarakat setempat.
Katanya, sebanyak 158 kaunter disediakan menerusi penyertaan 47 agensi kerajaan dan swasta bagi membolehkan orang ramai mendapatkan pelbagai perkhidmatan serta maklumat di satu lokasi.
“Selain perkhidmatan agensi, SKS Sarikei turut menyediakan pelbagai pengisian yang menarik perhatian pengunjung termasuk Sukaneka Rakyat, e-Peraduan, Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sarikei, Malam Budaya Sarawak dan Konsert Rakyat.
“Penganjuran program ini sekali gus memperlihatkan SKS sebagai platform yang bukan sahaja mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan rakyat, malah menggalakkan interaksi masyarakat, memperkasa ekonomi setempat serta menyemarakkan aktiviti kemasyarakatan di Bahagian Sarikei,” katanya.




