KUCHING: Kolej Universiti i-CATS kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Tun Openg Sarawak (TAHOTECH) selepas penjenamaan semula merangkumi nama, logo dan identiti korporat baharu yang diperkenalkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut kenyataan i-CATS hari ini, nama baharu itu mendapat perkenan Kementerian Pendidikan Tinggi berdasarkan syor Lembaga Pengarah universiti sebagai penghormatan kepada gabenor pertama Sarawak yang bebas daripada kuasa asing.
“Perubahan itu menyusuli pengiktirafan i-CATS sebagai universiti penuh oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada 20 Oktober lalu,” katanya.
Tambah kenyataan itu, penjenamaan semula berkenaan mencerminkan hala tuju strategik TAHOTECH dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selain memperkukuh penyelidikan dan inovasi teknologi bagi menyokong pembangunan industri serta ekonomi berasaskan pengetahuan.
Memetik kenyataan Abang Johari dalam kenyataan media itu, beliau berkata universiti TAHOTECH perlu melahirkan graduan bukan sahaja berilmu dan berkemahiran tinggi, malah mempunyai integriti, akhlak mulia serta menjunjung nilai adab dalam menuntut dan mengembangkan ilmu.
“Kemajuan Sarawak perlu dipacu oleh generasi yang bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi, tetapi turut memiliki kematangan pemikiran, kekuatan sahsiah serta tanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya lagi.
Beliau berkata, keseimbangan antara penguasaan ilmu, kemahiran dan pembentukan sahsiah penting untuk melahirkan generasi berdaya saing yang mampu menerajui pembangunan Sarawak secara mampan.
Jelas kenyataan i-CATS, identiti baharu itu turut menyokong aspirasi universiti berkenaan untuk memperkukuh kedudukan Sarawak dalam ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
-tamat-




