KUCHING: Seramai 118 pasukan bakal berentap pada Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Sri Santubong Siri Ke-18 dan Piala Landas LCDA PSPBK 2026 & Jemputan Antarabangsa yang berlangsung Sabtu dan Ahad ini.
Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Saiful Bahari Amra Ramly berkata, kejohanan itu dianjurkan LCDA bersama Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching (PSPBK) dan Kelab Sosial Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (LANDAS), dengan kerjasama Lea Sports Centre (LSC).
Katanya, pertandingan tahunan itu berlangsung di Arena Petanque Masjid Nurir Rahmani dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong, Kuching.
“Kejohanan ini turut diadakan bersempena ulang tahun ke-45 LCDA bertemakan ‘45 Tahun LCDA Bersama Komuniti’ serta menghimpunkan pemain tempatan dan antarabangsa,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Penganjuran kejohanan itu menjadi medan untuk mencungkil bakat baharu selain mempromosikan dan mempopularkan sukan petanque dalam kalangan masyarakat.
Dua kategori dipertandingkan iaitu Beregu Terbuka dan Beregu Wanita, dengan hadiah keseluruhan termasuk wang tunai, piala dan pingat.
Bagi Beregu Terbuka, juara menerima RM6,000, piala pusingan dan piala iringan, manakala naib juara menerima RM3,000 dan piala iringan. Tempat ketiga bersama menerima RM1,500 setiap pasukan.
Bagi Beregu Wanita pula, juara membawa pulang RM2,500 dan piala iringan, naib juara RM1,500 serta piala iringan, manakala tempat ketiga bersama menerima RM800 setiap pasukan. Hadiah turut disediakan bagi pasukan yang menduduki tempat kelima hingga ke-16.
Kejohanan itu turut disertai pemain dari Indonesia, Thailand dan Brunei Darussalam serta beberapa negeri di Malaysia, termasuk Sabah, Pahang, Terengganu dan Perak. Turut mengambil bahagian ialah pemain daripada PDRM, Jabatan Penjara Malaysia, UNIMAS, DBKU, LCDA serta pelbagai kelab dan persatuan petanque.



