KUCHING: Tiada penambahan kes positif baharu daripada 10 kluster yang masih aktif di Sarawak, hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini kekal sebanyak 677 kes.
Katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), terdapat enam kes baharu telah pulih dan dibenarkan didiscaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS) semalam.
“Empat daripada pesakit itu berasal dari daerah Kuching dan dua dari daerah Samarahan.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan didiscaj setakat hari ini adalah seramai 571 orang atau 84.34 peratus,” katanya.
Tambahnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah membuat pengesanan kontak rapat kes positif secara agresif.
“Ini bukan hanya dilakukan untuk kesan kes positif tetapi juga pengawasan kepada sektor seperti tapak pembinaan, peladangan dan sebagainya,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Beliau turut menjelaskan seramai 87 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital, dan jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.81 peratus.
“Sebanyak sembilan PUI baharu dilaporkan hari ini (30 Julai) dan dua kes masih menunggu ujian makmal.
“Bagi sampel yang diambil semasa penjejakan kotak dan pengawasan sebanyak 1,182 masih menunggu ujian makmal dan kita berharap ia akan dapat diketahui dalam tempoh 24 jam,” ujarnya.
Untuk rekod, 10 kluster yang masih aktif di negeri ini termasuk Kluster Syarikat Kejuruteraaan (kekal lapan kes), Kluster Mambong (kekal tujuh kes), Kluster Pusat Perubatan (kekal tiga kes), Kluster Jupiter (kekal tiga kes), Kluster Pasar Stutong (kekal tujuh kes), Kluster Jeti Kuching (kekal dua kes), Kluster Sentosa (kekal 31 kes), Kluster PUI Melbourne (kekal tiga kes), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (kekal dua kes) dan Kluster Pasar Satok (kekal empat kes).